Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif dan Jawatankuasa Syariah IILM

Embargo: Untuk siaran segera
15 Dis 2010 Siaran Akhbar

[Kuala Lumpur dan Jeddah, 13 Disember 2010/7 Muharram 1432] - International Islamic Liquidity Management Corporation (IILM) ingin mengumumkan pelantikan Encik Mahmoud AbuShamma sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pertama IILM untuk tempoh tiga tahun mulai 1 Februari 2011.

Sebelum pelantikan ini, Encik Mahmoud telah berkhidmat sebagai Ketua Global, HSBC Amanah Coverage di HSBC Bank Middle East Limited, Dubai. Beliau bertanggungjawab terhadap hubungan kritikal HSBC Amanah di peringkat global, termasuk dengan pihak Kerajaan, individu yang mempunyai aset kewangan yang tinggi dan pelanggan korporat yang utama. Beliau memainkan peranan penting dalam penubuhan Unit HSBC Amanah Syariah - bank asing pertama yang membuka unit perbankan runcit Islam di Indonesia, dan berkhidmat sebagai ketua Unit tersebut dari tahun 2003 hingga 2010. Di London, beliau menubuhkan dan mengetuai Unit Perbendaharaan Islam HSBC dan mewujudkan Persindiketan Islam pertama yang diterbitkan oleh HSBC Amanah.

Encik Mahmoud akan mengetuai satu pasukan pakar dan profesional kewangan Islam bagi melaksanakan mandat IILM terutamanya untuk menerbitkan instrumen kewangan jangka pendek berlandaskan Islam yang bertaraf tinggi dalam mata wang rizab utama dan mewujudkan platform bagi mempertingkat aktiviti kewangan Islam rentas sempadan. Melalui pengalaman kerja dan rangkaian hubungan globalnya, Encik Mahmoud dan pasukan beliau akan bertanggungjawab memenuhi matlamat IILM bagi mempertingkat ativiti pengurusan mudah tunai kewangan Islam rentas sempadan dan memupuk kerjasama serantau dan antarabangsa dalam membangunkan infrastruktur pengurusan mudah tunai yang kukuh.  

Encik Mahmoud sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, akan bertanggungjawab kepada Lembaga Tadbir Urus IILM yang akan menentukan hala tuju dasar strategik IILM dan juga bertanggungjawab kepada Lembaga Jawatankuasa Eksekutif untuk pelaksanaan operasi umum IILM. Anggota Lembaga Tadbir Urus IILM terdiri daripada gabenor-gabenor bank pusat dan agensi pengawalseliaan yang menganggotainya di samping presiden-presiden institusi multilateral yang menyertainya. Lembaga Jawatankuasa Eksekutif IILM, yang terdiri daripada anggota Lembaga Tadbir Urus atau pegawai kanannya, telah ditugaskan oleh Lembaga Tadbir Urus untuk memantau operasi IILM dan urusan berkaitan dengan anggota-anggotanya. Struktur tadbir urus ini juga akan memastikan perundingan strategik dengan anggota-anggota IILM dijalankan secara berkala dan usaha sama.

IILM juga ingin mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, sebagai Pengerusi Lembaga Tadbir Urus IILM yang pertama dan Tuan Yang Terutama Yves Mersch, Gabenor Central Bank of Luxembourg sebagai Timbalan Pengerusi. Jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi akan dipegang secara bergilir-gilir setiap tahun daripada kalangan pemegang saham IILM mengikut Syarat Perjanjian IILM. Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz juga telah dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Jawatankuasa Eksekutif IILM.

Lembaga Tadbir Urus IILM telah melantik enam ilmuwan terkenal di dunia untuk menganggotai Jawatankuasa Syariahnya. Jawatankuasa Syariah ini akan membuat keputusan mengenai sebarang isu Syariah yang berkaitan dengan perniagaan, operasi dan kegiatan IILM, di samping subsidiari, entiti tujuan khas atau dana amanahnya. Ilmuwan yang dilantik akan berkhidmat untuk tempoh tiga tahun dan mereka adalah seperti yang berikut (mengikut urutan abjad):

  1. Dr. Ahmed Ali Abdalla Hamad
  2. En. Cecep Maskanul Hakim
  3. Dr. Mohamed Ali Elgari
  4. Dr. Mohd Daud Bakar
  5. Dr. Umar Bashir Aliyu
  6. Dr. Waleed Bin Hady Al Mullah

International Islamic Liquidity Management Corporation 
13 Disember 2010


Mengenai IILM

IILM ialah badan antarabangsa yang ditubuhkan untuk menerbitkan instrumen kewangan jangka pendek yang berlandaskan Syariah bagi memudahkan pengurusan mudah tunai yang lebih cekap untuk institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam (institutions offering Islamic financial services, IIFS) dan bagi menyokong peningkatan aktiviti rentas sempadan antara IIFS. Keanggotaannya dibuka kepada bank-bank pusat, pihak berkuasa kewangan, pihak berkuasa pengawalseliaan kewangan, kementerian atau agensi Kerajaan yang mengawasi pengawalseliaan kewangan atau perdagangan dan perniagaan; dan pertubuhan multilateral.  Para anggotanya merupakan pemegang saham IILM. IILM ditubuhkan pada 25 Oktober 2010 dengan 14 pemegang saham pengasas (terdiri daripada 12 bank pusat atau pihak berkuasa monetari dari Indonesia, Iran, Kuwait, Luxembourg, Malaysia, Mauritius, Nigeria, Qatar, Arab Saudi, Sudan, Turki, dan Emiriah Arab Bersatu) dan dua institusi multilateral (Bank Pembangunan Islam dan Syarikat Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta). Ibu pejabatnya terletak di Kuala Lumpur dan satu rang undang-undang khusus sedang dibahaskan di Parlimen Malaysia untuk memberikan status khas, keistimewaan dan kekebalan kepada IILM. Untuk keterangan lanjut mengenai IILM, sila hubungi:

Pengerusi Lembaga Tadbir Urus
International Islamic Liquidity Management Corporation 
Aras 40
Menara 2, Menara Berkembar Petronas
Pusat Bandaraya Kuala Lumpur
50088, Kuala Lumpur
Malaysia

Telefon           : +603-2168 4277
Faksimile       : +603-2168 4677

Pertanyaan melalui e-mel boleh dihantar kepada sekretariat pentadbiran sementara IILM (alamat e-mel: [email protected] (untuk perhatian En. Ahmad Hizzad Baharuddin)).


Bank Negara Malaysia
15 Disember 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?