Pelantikan Ketua Pengarah Baru bagi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA)
Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir (LOFSA) ingin mengumumkan bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan telah meluluskan pelantikan Encik Azizan Abdul Rahman sebagai Ketua Pengarah LOFSA yang baru berkuat kuasa mulai 1 Julai 2005.
Encik Azizan memegang jawatan Ketua Pengarah LOFSA berikutan tamatnya tempoh perkhidmatan Puan Rosnah Omar selama dua tahun. Pihak Kerajaan juga ingin merakamkan penghargaan atas perkhidmatan dan sumbangan beliau semasa menjadi Ketua Pengarah.
Encik Azizan ialah bekas Pengarah Jabatan Penyeliaan Perbankan di Bank Negara Malaysia. Beliau memulakan kariernya di Jabatan Penyeliaan Perbankan pada tahun 1979 selepas mendapat ijazah perakaunan daripada Universiti Malaya. Selepas menerima Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) daripada Universiti Queensland, Australia pada tahun 1994, beliau ditugaskan ke Jabatan Kewangan Bank Negara Malaysia dan kemudiannya, dinaikkan pangkat sebagai Pengarah pada tahun 1996. Pada tahun 1999, beliau diberi tanggungjawab untuk mengetuai Jabatan Penyeliaan Perbankan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.