Pelantikan Semula Ahli Luar Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1730 pada Jumaat, 29 Disember 2023
29 Dis 2023 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pelantikan semula Encik Lim Chee Sing sebagai ahli luar Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC). Tempoh pelantikan semula ini adalah selama tiga tahun, berkuat kuasa 1 Januari 2024.

Encik Lim Chee Sing

Encik Lim Chee Sing merupakan ahli luar MPC sejak 1 Januari 2022. Beliau berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif dan Pengerusi RHB Research Institute Sdn. Bhd. dari tahun 2013 hingga 2017. Beliau juga merupakan Ketua Ekonomi Kumpulan di RHB Banking Group dan ahli strategi pasaran ekuiti untuk pasaran Malaysia di RHB Research Institute. Berbekalkan pendidikan dalam bidang ekonomi, Encik Lim memulakan kerjaya beliau sebagai ahli ekonomi di BNM pada tahun 1981 dan berkhidmat di BNM selama hampir 11 tahun. Selepas itu, beliau menyertai RHB Research Institute sebagai ahli ekonomi serantau dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Penyelidik pada tahun 2002. Encik Lim Chee Sing berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Master of Business Administration, MBA) dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya.


Mengenai MPC

Di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Central Bank of Malaysia Act, CBA 2009), MPC bertanggungjawab merumuskan dasar monetari serta menetapkan dasar-dasar untuk mengendalikan operasi dasar monetari. CBA 2009 juga memberikan peruntukan kepada pelantikan ahli luar MPC.

Ahli-ahli MPC:

  • Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
  • Timbalan Gabenor Jessica Chew Cheng Lian
  • Timbalan Gabenor Marzunisham Omar
  • Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid
  • Penolong Gabenor Norhana Endut
  • Penolong Gabenor Fraziali Ismail
  • Lim Chee Sing (Ahli Luar)
  • Nor Zahidi Alias (Ahli Luar)

Bank Negara Malaysia
29 Disember 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?