Pelantikan Semula Ahli Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pelantikan semula tiga ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS). Pelantikan ini dibuat menurut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Ahli-ahli yang dilantik semula ialah:
- Dato' Prof. Dr. Ashraf Md Hashim
Profesor, Universiti INCEIF
1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028
- Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali
Profesor Kehormat, Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028
- Encik Burhanuddin Lukman
Perunding Syariah Bebas
1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028
Bermula 1 Januari 2026, MPS akan dibarisi lapan ahli yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang Syariah, kewangan Islam, perakaunan, audit and perundangan.
Ahli-ahli lain yang sedia ada ialah:
- Sahibus Samahah Dato' Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir
Mufti Selangor
- Dr. Marjan Muhammad
Timbalan Presiden Penyelidikan, Institut ISRA, Universiti INCEIF
- Dr. Ahmad Basri Ibrahim
Ketua Pengurusan Syariah, Permodalan Nasional Berhad
- Prof. Dr. Amir Shaharuddin
Pengarah, Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam, Universiti INCEIF
- Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman
Ahli, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia. MPS memainkan peranan yang sangat penting untuk menggalakkan kepastian pada Syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam. MPS juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu Syariah yang berkaitan dengan perniagaan, aktiviti atau transaksi kewangan Islam yang dijalankan oleh BNM. Keputusan Syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip Syariah. Selain itu, keputusan MPS juga boleh digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara.
BNM juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin yang menyempurnakan tempoh perkhidmatannya sebagai ahli MPS pada 31 Disember 2025. Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin dilantik sebagai ahli MPS sejak 1 November 2008.
Gabenor BNM Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “MPS memberikan sumbangan yang besar kepada aspirasi Malaysia dalam kewangan Islam. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin telah memberikan sumbangan yang amat bernilai kepada MPS.”
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.