Pelantikan Semula Ahli Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pelantikan semula Sahibus Samahah Dato' Setia Prof. Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir, Dr. Marjan Muhammad dan Dr. Ahmad Basri Ibrahim sebagai ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) BNM. Pelantikan ini dibuat menurut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Dengan pelantikan semula ini, MPS akan dibarisi tujuh orang ahli yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang Syariah, kewangan Islam dan undang-undang. Ahli-ahli MPS ialah:
- Prof. Dr. Ashraf Md Hashim (Pengerusi)
Profesor, Universiti INCEIF
- Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali (Timbalan Pengerusi)
Profesor Kehormat, Institut Perbankan dan Kewangan Islam,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
- Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin (Ahli)
Profesor, Universiti INCEIF
- Encik Burhanuddin Lukman (Ahli)
Ahli Jawatankuasa Penasihat Haji, Lembaga Tabung Haji
- Sahibus Samahah Dato' Setia Prof. Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir (Ahli)
Mufti Selangor
Dilantik semula dari 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2026
- Dr. Marjan Muhammad (Ahli)
Timbalan Presiden Penyelidikan, Universiti INCEIF
Dilantik semula dari 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2027
- Dr. Ahmad Basri Ibrahim (Ahli)
Ketua, Pengurusan Syariah, Permodalan Nasional Berhad
Dilantik semula dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027
BNM juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Mohd Zawawi Salleh dan Encik Zainal Abidin Jamal atas sumbangan yang tidak ternilai semasa tempoh perkhidmatan mereka. Tan Sri Mohd Zawawi akan melengkapkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai ahli MPS pada 31 Disember 2024, sementara Encik Zainal Abidin telah menyempurnakan tempoh perkhidmatan beliau pada 31 Oktober 2024. Tan Sri Mohd Zawawi dan Encik Zainal Abidin telah memberikan sumbangan besar kepada perbincangan MPS dan keseluruhan pembangunan kewangan Islam di Malaysia.
MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia. MPS juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu Syariah yang berkaitan dengan perniagaan, aktiviti atau transaksi kewangan Islam. Keputusan Syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip Syariah. Selain itu, keputusan MPS juga boleh digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara. Oleh itu, MPS memainkan peranan yang penting untuk menggalakkan kepastian amalan Syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.