Pelantikan Semula dan Pelantikan Baharu Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia

Embargo: Untuk siaran segera
20 Mac 2013 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan semula Dato' Muhammad Ibrahim sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun lagi berkuat kuasa 16 Jun 2013 hingga 15 Jun 2016. Dato' Muhammad Ibrahim telah dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada 16 Jun 2010 untuk tempoh tiga tahun.  Beliau akan terus bertanggungjawab dalam pengurusan rizab antarabangsa, pasaran wang dan operasi pertukaran asing, serta pengawalan dan pembangunan sektor kewangan termasuk sistem pembayaran.

Bank Negara Malaysia juga ingin mengumumkan pelantikan Dr. Sukudhew (Sukhdave) Singh sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 16 April 2013.  Dr. Sukhdave akan bertanggungjawab bagi Sektor Monetari dan Ekonomi, serta sektor pembangunan organisasi Bank. Dr. Sukhdave sekarang ini merupakan Penolong Gabenor yang bertanggungjawab bagi Sektor Monetari dan Ekonomi, yang juga termasuk fungsi perkhidmatan antarabangsa dan statistik Bank.  Beliau merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari Bank dan mempengerusikan Kumpulan Kerja Dasar Monetari Bank. Di samping itu, beliau juga bertanggungjawab terhadap inisiatif integrasi serantau dan juga telah mempengerusikan beberapa pasukan petugas serantau mengenai kerjasama kewangan dan monetari.  Dr. Sukhdave memulakan kerjayanya di Bank pada tahun 1986 dan memperoleh Doktor Falsafah (PhD) daripada Vanderbilt Universiti, Amerika Syarikat dalam jurusan Monetari dan Ekonomi Antarabangsa.

Dengan pelantikan ini, kini Bank Negara Malaysia mempunyai tiga Timbalan Gabenor, seperti yang diperuntukkan dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Dato' Muhammad Ibrahim

Dato' Muhammad Ibrahim

Dr. Sukhdave Singh

Dr. Sukhdave Singh


Bank Negara Malaysia
20 Mac 2013

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?