Pelantikan Suhaimi Ali sebagai Penolong Gabenor dan Persaraan Penolong Gabenor Norzila Abdul Aziz
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pelantikan Encik Suhaimi Ali sebagai Penolong Gabenor berkuat kuasa 1 April 2022.
Encik Suhaimi mula berkhidmat di BNM pada tahun 1998 selepas menamatkan pengajian dari University of Notre Dame, Amerika Syarikat. Sepanjang kerjaya beliau di BNM, beliau pernah berkhidmat di pelbagai jabatan, termasuk pembangunan sektor kewangan, pengawalan dan penyeliaan, perancangan strategik, amalan pasaran, perundingan antarabangsa dan perkhidmatan IT serta Pejabat Gabenor.
BNM juga ingin mengumumkan persaraan Penolong Gabenor Puan Norzila Abdul Aziz yang berkuat kuasa 1 April 2022. Sejak menyertai BNM pada tahun 1988, Puan Norzila telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh dan memodenkan operasi pelaburan dan fungsi pasaran kewangan BNM, serta memacu usaha BNM untuk memperdalam pasaran kewangan Malaysia.
Penolong Gabenor Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid akan mengambil alih portfolio yang dipegang oleh Puan Norzila sekarang ini, iaitu terdiri daripada Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan dan Jabatan Dasar Pertukaran Asing. Beliau juga akan bertanggungjawab ke atas Jabatan Pengurusan Data dan Statistik. Sementara itu, Encik Suhaimi akan mengambil alih portfolio yang dipegang oleh Encik Adnan sekarang ini iaitu terdiri Jabatan Pembangunan dan Inovasi Kewangan, Jabatan Sistem Kewangan Islam dan Jabatan Rangkuman Kewangan.
Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, “Bagi pihak BNM, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan Norzila yang besar kepada BNM dan negara sepanjang 35 tahun perkhidmatan beliau. Norzila merupakan salah seorang daripada barisan kepimpinan BNM yang banyak berjasa. Khidmat dan kepimpinan beliau yang penuh dedikasi telah membantu BNM mengharungi dan bertindak balas terhadap pelbagai cabaran, antaranya krisis kewangan Asia dan global serta pandemik. Kami benar-benar menghargai khidmat beliau. Saya juga berkeyakinan pelantikan Suhaimi akan memperkukuh keupayaan BNM untuk mencapai mandatnya”.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.