Pelantikan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Baharu
Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan bahawa Menteri Kewangan telah meluluskan pelantikan Puan Chew Cheng Lian (Puan Jessica) sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018.
Puan Jessica memegang jawatan Timbalan Gabenor berikutan persaraan Dr Sukudhew (Sukhdave) Singh sebagai Timbalan Gabenor pada 31 Disember 2017. Bank ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Sukhdave atas sumbangan beliau selama 31 tahun berkhidmat di Bank. Sebagai pesara Bank, Dr Sukhdave akan menerima manfaat yang diberikan di bawah terma dan syarat Bank.
Sebagai Timbalan Gabenor, Puan Jessica akan bertanggungjawab terhadap pengawalseliaan dan pembangunan sektor kewangan termasuk sistem pembayaran, sektor pembangunan organisasi dan perkhidmatan sokongan berpusat.
Pada masa ini, Puan Jessica ialah Penolong Gabenor yang bertanggungjawab untuk merangka dasar-dasar dalam sektor perbankan dan insurans yang memberikan tumpuan pada kecekapan, inovasi, institusi dan struktur pasaran, pembangunan kewangan dan pembangunan tenaga mahir. Beliau juga bertanggungjawab untuk pembangunan sistem pembayaran selain pengawalseliaanan dan pengawasan perniagaan perkhidmatan wang.
Puan Jessica merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan ahli Jawatankuasa Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia.
Puan Jessica ialah Pengerusi Agensi Akreditasi Kewangan (FAA), ahli lembaga pengarah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad, ahli Jawatankuasa Teknikal bagi Persatuan Pengawal Selia Insurans Antarabangsa (IAIS) dan juga penasihat kepada Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB).
Puan Jessica mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pengawalan dan penyeliaan sektor kewangan dan dalam tempoh tersebut beliau terlibat dalam pembangunan Pelan Induk Sektor Kewangan (FSMP) (2001-2010) dan kemudiannya Pelan Sektor Kewangan (2011-2020). Beliau turut terbabit dalam pembentukan strategi liberalisasi sektor kewangan sebagai sebahagian daripada perundingan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dan Perdagangan Bebas. Puan Jessica juga terbabit secara langsung dalam pembentukan pelbagai strategi pembangunan modal insan bagi sektor kewangan Malaysia yang membawa kepada penubuhan beberapa inisiatif termasuk Program Meningkatkan Tenaga Mahir dalam Sektor Kewangan (FSTEP) dan Program Pendidikan untuk Pengarah Institusi Kewangan (FIDE). Di samping itu, beliau telah menyumbang kepada penggubalan Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013.
Puan Jessica mula berkhidmat dengan Bank pada tahun 1993 dan memegang Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dengan pengkhususan dalam bidang perakaunan dan kewangan daripada University of Melbourne, Australia.
Berkuat kuasa pada tarikh yang sama, Timbalan Gabenor Encik Abdul Rasheed Ghaffour akan bertanggungjawab mengawasi sektor kewangan dan ekonomi, sektor penyeliaan, sektor pelaburan dan operasi serta Jabatan LINK dan Pejabat BNM, Jabatan Kewangan dan Jabatan Perundangan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.