Peluasan Selanjutnya Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan antara Bank Negara Malaysia dengan Bank of Thailand

26 Okt 2021 Siaran Akhbar

Kenyataan Akhbar Bersama

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) hari ini mengumumkan peluasan rangka kerja penyelesaian ringgit-baht berkuat kuasa 1 Disember 2021. Peluasan ini merupakan sebahagian daripada usaha yang berterusan untuk menggunakan mata wang tempatan secara lebih meluas bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan langsung antara Malaysia dengan Thailand.

Rangka kerja yang mutakhir ini termasuk meluaskan segmen pengguna yang layak dengan mengambil kira rakyat Malaysia dan Thailand yang menetap sama ada di Thailand atau Malaysia. Rangka kerja ini turut merangkumi dasar pertukaran asing tambahan yang fleksibel, misalnya keperluan dokumen yang lebih ringkas.

Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, Timbalan Gabenor BNM berkata, “Peluasan ini akan memberikan akses yang lebih meluas kepada perkhidmatan kewangan dalam denominasi ringgit atau baht bagi individu dan juga perniagaan di kedua-dua negara. Melalui rangka kerja tersebut, sekarang rakyat Thailand yang menetap di Malaysia juga boleh menggunakan perkhidmatan ini. Peluasan ini akan merangsang kegiatan ekonomi antara kedua-dua negara pada masa hadapan.”

Encik Mathee Supapongse, Timbalan Gabenor BOT pula berkata, “Peluasan rangka kerja penyelesaian ringgit-baht yang mutakhir ini akan memberikan manfaat kepada rakyat dan perniagaan di Malaysia dan Thailand. Hal ini akan memudahkan lagi transaksi kewangan merentas sempadan termasuk melalui jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara kedua-dua negara yang dilancarkan baru-baru ini. Kami yakin usaha ini akan menggalakkan penggunaan mata wang tempatan secara lebih meluas serta meningkatkan integrasi kewangan di rantau ASEAN.”

Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan antara Malaysia dengan Thailand dilancarkan buat kali pertama pada 14 Mac 2016 sebelum diperluas pada 2 Januari 2018, selaras dengan Memorandum Persefahaman antara BNM dengan BOT yang ditandatangani pada 27 Ogos 2015.

Susulan peluasan yang terbaharu ini, BNM dan BOT juga telah melantik beberapa lagi bank perdagangan yang berkelayakan di kedua-dua negara untuk menyertai dan terus menyokong pelaksanaan rangka kerja penyelesaian ringgit-baht yang diperluas tersebut. Secara umumnya, bank-bank yang dilantik adalah berdaya maju dan kukuh, berpengalaman dalam memudahkan penyelesaian perdagangan dan pelaburan langsung antara kedua-dua negara, serta telah mempunyai hubungan perniagaan yang kukuh dengan bank-bank di negara rakan yang menjalinkan persefahaman ini.

Bank-bank yang dilantik adalah seperti yang berikut:

Malaysia

  • Bank-bank lain yang baru dilantik
    • HSBC Bank Malaysia Berhad
    • Standard Chartered Bank Malaysia Berhad
  • Bank-bank sedia ada yang dilantik
    • Bangkok Bank Berhad
    • CIMB Bank Berhad
    • Malayan Banking Berhad
    • MUFG Bank (Malaysia) Berhad
    • Public Bank Berhad
    • RHB Bank Berhad
    • United Overseas Bank (Malaysia) Berhad

Thailand

  • Bank-bank lain yang dilantik
    • The Hong Kong and Shanghai Banking Corporation Limited, Cawangan Bangkok
    • Standard Chartered Bank (Thai) PCL
  • Bank-bank sedia ada yang dilantik
    • Bangkok Bank PCL
    • Bank of Ayudhya PCL
    • CIMB Thai PCL
    • Kasikornbank PCL
    • Krung Thai Bank PCL
    • Siam Commercial Bank PCL
    • United Overseas Bank (Thai) PCL

Lihat Juga: Soalan Lazim

 

 

Bank Negara Malaysia
The Bank of Thailand
26 Oktober 2021

 

 


Bank Negara Malaysia
26 Oktober 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?