Pemakluman Terperinci bagi Rizab Antarabangsa pada akhir bulan September 2010

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1200 pada Jumaat, 29 Oktober 2010
29 Okt 2010 Siaran Akhbar

Mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat tentang saiz, jenis dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta aliran keluar masuk pertukaran asing yang telah dianggarkan terlebih dahulu dan di luar jangkaan bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Butiran terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format SDDS terkandung dalam Jadual I, II, III dan IV. Seperti ditunjukkan dalam Jadual I, aset rizab rasmi berjumlah USD100,724.6 juta, manakala aset mata wang asing lain berjumlah USD8,245.1 juta pada akhir bulan September 2010. Seperti ditunjukkan dalam Jadual II, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing diunjurkan sebanyak USD2,192 juta bagi 12 bulan akan datang disebabkan oleh pembayaran balik berjadual pinjaman luar negeri oleh Kerajaan. Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data tersebut tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengambilan pinjaman projek berjumlah USD3,355 juta bagi 12 bulan akan datang. Kedudukan hadapan panjang bersih adalah bersamaan dengan USD4,900 juta pada akhir bulan September 2010. Seperti ditunjukkan dalam Jadual III, satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah USD163.2 juta. Rizab Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain. Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen dalam mata wang asing terhadap ringgit. Seperti ditunjukkan dalam Jadual IV, pemberian pinjaman sekuriti dan peminjaman sekuriti masing-masing berjumlah USD24.5 juta.

Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF di atas menunjukkan bahawa pada akhir bulan September 2010, rizab Malaysia tetap boleh guna dan tiada halangan untuk menggunakannya

Table I: Official reserves assets and other foreign currency assets
Table II: Predetermined short-term net drains on foreign currency assets
Table III: Contingent short-term net drains on foreign currency assets
Table IV: Memo Items


Bank Negara Malaysia
29 Oktober 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?