Pemakluman Terperinci bagi Rizab Antarabangsa pada akhir Disember 2005

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1700 pada Jumaat, 27 Januari 2006
27 Jan 2006 Siaran Akhbar

Sejajar dengan format SDDS Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberi maklumat gambaran kedudukan hadapan mengenai saiz, jenis dan kebolehgunaan rizab, serta aliran keluar masuk pertukaran asing pratentu bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Butiran terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format SDDS tertera di dalam Jadual I, II, III dan IV. Seperti yang ditunjukkan di dalam Jadual I, jumlah rizab antarabangsa pada akhir Disember 2005 sebanyak USD70,497.4 juta, terdiri daripada aset rizab rasmi berjumlah USD70,183.3 juta dan aset mata wang asing lain sebanyak USD314.1 juta. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual II, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran masuk bersih jangka pendek pratentu bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing dianggarkan berjumlah USD1,364 juta. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual III, satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah USD368 juta. Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum dipakai dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberi oleh atau kepada bank pusat, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain. Bank Negara Malaysia juga tidak terlibat dalam urus niaga opsyen dalam mata wang asing terhadap ringgit. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual IV, aktiviti repo dan pemberian pinjaman sekuriti dan aset derivatif adalah kecil.

Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF di atas menunjukkan bahawa rizab Malaysia pada akhir Disember 2005 kekal boleh guna dan tiada halangan untuk menggunakannya.

Table I: Official reserves assets and other foreign currency assets
Table II: Predetermined short-term net drains on foreign currency assets
Table III: Contingent short-term net drains on foreign currency assets
Table IV: Memo Items


Bank Negara Malaysia
27 Januari 2006

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?