Pemakluman Terperinci bagi Rizab Antarabangsa pada akhir Februari 2006
Sejajar dengan format SDDS Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberi maklumat gambaran kedudukan hadapan mengenai saiz, jenis dan kebolehgunaan rizab, serta aliran keluar masuk pertukaran asing pratentu bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang. Butiran terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format SDDS tertera di dalam Jadual I, II, III dan IV. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual I, rizab antarabangsa pada akhir Februari 2006 berjumlah sebanyak USD72,204.0 juta, terdiri daripada aset rizab rasmi sebanyak USD71,913.4 juta dan aset mata wang asing lain sebanyak USD290.6 juta. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual II, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran masuk bersih jangka pendek pratentu bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing dianggarkan berjumlah USD965 juta. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual III, satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah USD383 juta. Rizab Malaysia tidak mengandungi pinjaman dalam mata wang asing yang melibatkan opsyen terkandung, kemudahan kredit belum dipakai dan kemudahan kredit tanpa syarat, yang diberikan oleh atau kepada bank-bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank-bank dan institusi kewangan lain. Bank Negara Malaysia juga tidak terlibat dengan opsyen dalam mata wang asing berhubung dengan ringgit. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual IV, aktiviti repo dan pemberian pinjaman sekuriti dan aset derivatif kewangan juga tidak ketara. Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF di atas menunjukkan bahawa rizab Malaysia pada akhir Februari 2006 kekal boleh guna dan tiada halangan untuk menggunakannya.
Table I: Official reserves assets and other foreign currency assets
Table II: Predetermined short-term net drains on foreign currency assets
Table III: Contingent short-term net drains on foreign currency assets
Table IV: Memo Items
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.