Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada akhir bulan Disember 2013
Mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat tentang saiz, jenis dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta aliran keluar masuk pertukaran asing yang telah dianggarkan terlebih dahulu dan di luar jangkaan bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Butiran terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format SDDS terkandung dalam Jadual I, II, III dan IV. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual I, aset rizab rasmi berjumlah USD134,910.8 juta, manakala aset mata wang asing lain berjumlah USD5,477.9 juta pada akhir bulan Disember 2013. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual II, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing diunjurkan sebanyak USD344.7 juta disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan. Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek sebanyak USD3,136.1 juta bagi tempoh 12 bulan akan datang. Jumlah kedudukan hadapan panjang ialah sebanyak USD3,200.0 juta pada akhir bulan Disember 2013. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual III, satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah USD294.2 juta. Rizab Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain. Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.
Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab Malaysia pada akhir bulan Disember 2013 tetap boleh guna dan tiada halangan untuk menggunakannya.
Table I: Official reserves assets and other foreign currency assets
Table II: Predetermined short-term net drains on foreign currency assets
Table III: Contingent short-term net drains on foreign currency assets
Table IV: Memo Items
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.