Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada akhir bulan Jun 2018
Mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Butiran terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format SDDS terkandung dalam Jadual I, II, III dan IV. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual I, aset rizab rasmi berjumlah USD104,656.1 juta, manakala aset mata wang asing lain berjumlah USD102.1 juta pada akhir bulan Jun 2018. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual II, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman dalam mata wang asing yang disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan diunjurkan sebanyak USD242.9 juta bagi tempoh 12 bulan akan datang. Jumlah kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak USD16,223.1 juta manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak USD50.0 juta pada akhir bulan Jun 2018, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam sistem kewangan. Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah USD2,608.3 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual III, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, yang berjumlah USD90.2 juta. Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain. Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.
Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab Malaysia pada akhir bulan Jun 2018 tetap boleh guna.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.