Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada Akhir Bulan Mac 2015

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1600 pada Khamis, 30 April 2015
30 Apr 2015 Siaran Akhbar

Mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat tentang saiz, jenis dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta aliran masuk dan keluar pertukaran asing yang telah dianggarkan terlebih dahulu dan di luar jangkaan bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.
 
Butiran terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format SDDS terkandung dalam Jadual I, II, III dan IV. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual I, aset rizab rasmi berjumlah USD105,105.9 juta[1], manakala aset mata wang asing lain berjumlah USD1,007.3 juta pada akhir bulan Mac 2015. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual II, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing dianggarkan sebanyak USD1,459.7 juta disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan[2]. Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek sebanyak USD2,930.4 juta bagi tempoh 12 bulan akan datang. Tiada kedudukan hadapan panjang dicatatkan pada akhir bulan Mac 2015. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual III, satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah USD82.1 juta. Rizab Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain. Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.
 
Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format   SDDS IMF menunjukkan rizab Malaysia pada akhir bulan Mac 2015 tetap boleh guna dan tiada halangan untuk menggunakannya.
 
 

 

[1]Aset rizab rasmi yang lebih rendah pada akhir Mac 2015 mencerminkan sebahagian besarnya pelarasan suku tahunan bagi perubahan penilaian semula pertukaran asingpada suku pertama 2015.
[2] Seperti dilaporkan dalam Siaran Akhbar mengenai Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada akhir bulan Jun 2014, sebahagian besar pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan mencerminkan Sukuk Global 1Malaysia (USD1,250 juta) yang akan matang pada bulan Jun 2015. 

Table I: Official reserves assets and other foreign currency assets
Table II: Predetermined short-term net drains on foreign currency assets
Table III: Contingent short-term net drains on foreign currency assets
Table IV: Memo Items


Bank Negara Malaysia
30 April 2015

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?