Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa Pada Akhir Bulan Oktober 2021

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1200 pada Selasa, 30 November 2021
30 Nov 2021 Siaran Akhbar

Mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Butiran terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format SDDS terkandung dalam Jadual I, II, III dan IV. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual I, aset rizab rasmi berjumlah USD116,131.3 juta, manakala aset mata wang asing lain berjumlah USD154.4 juta pada akhir bulan Oktober 2021. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual II, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang berjumlah USD5,119.7 juta. Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara. Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak USD7,625.1 juta manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak USD150 juta pada akhir bulan Oktober 2021, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang. Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek. Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah USD2,339.3 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual III, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah USD386.3 juta. Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain. Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.

Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan Oktober 2021 tetap boleh guna.


Bank Negara Malaysia
30 November 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?