Pemantauan terhadap institusi kewangan bukan bank

Embargo: Untuk siaran segera
26 Jan 2016 Siaran Akhbar

Dalam melaksanakan mandatnya untuk menggalakkan kestabilan kewangan, Bank Negara Malaysia (Bank) menjalankan pemantauan terhadap institusi-institusi kewangan bukan bank utama yang mempunyai kesalinghubungan yang penting dengan sistem kewangan. Langkah ini disokong oleh Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan (Financial Stability Executive Committee, FSEC) yang dibentuk di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009. FSEC dipengerusikan oleh Gabenor dan ahli-ahlinya termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan seorang ahli bebas dari luar Bank.

Berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh Bank, pihak Bank dan FSEC dari semasa ke semasa akan memberikan nasihat kepada institusi kewangan bukan bank yang utama sebagai langkah awalan untuk memastikan kedudukan kewangan institusi berkenaan kekal kukuh dan bagi mengelak sebarang implikasi sistemik ke atas sistem kewangan negara. Berhubung dengan Lembaga Tabung Haji, institusi ini telah secara proaktif mengambil langkah-langkah wajar untuk terus memantapkan amalan pengurusan risikonya atas inisiatif sendiri dan susulan perbincangan dengan Bank sebelum ini. Langkah-langkah ini akan memperkukuh kedudukan kewangan institusi ini yang mampan pada masa hadapan.

Meskipun Lembaga Tabung Haji bukan merupakan institusi di bawah pemantauan langsung Bank, nasihat yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia kepada institusi-institusi kewangan bukan bank bertujuan untuk memastikan institusi-institusi tersebut akan terus diurus dengan baik dan dapat memainkan peranan mereka dengan berkesan selaras dengan tujuan penubuhan institusi berkenaan. Ini seterusnya dapat menyumbang kepada kestabilan kewangan negara.


Bank Negara Malaysia
26 Januari 2016

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?