Pembaharuan Perjanjian Swap Mata Wang Tempatan Dua Hala antara Bank Negara Malaysia dengan Bank Indonesia
Bank Negara Malaysia dan Bank Indonesia telah memperbaharui Perjanjian Swap Mata Wang Tempatan Dua Hala (Local Currency Bilateral Swap Agreement, LCBSA) dengan jumlah pengaturan swap hingga RM8 bilion / IDR28 trilion pada 23 September 2022. Pembaharuan perjanjian ini merupakan susulan perjanjian pertama yang ditandatangani pada tahun 2019 dan akan berkuat kuasa untuk tempoh tiga tahun. Perjanjian yang diperbaharui ini mengukuhkan kerjasama yang sedia terjalin antara kedua-dua bank pusat.
“Memandangkan aliran perdagangan yang tinggi[1] antara Malaysia dengan Indonesia, kami berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan Bank Indonesia melalui pembaharuan LCBSA ini. LCBSA juga menyumbang kepada Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (Local Currency Settlement Framework, LCSF) antara kedua-dua negara iaitu pengaturan yang menggalakkan penggunaan mata wang tempatan secara lebih meluas bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan,” kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
“Bank Indonesia percaya bahawa pembaharuan pengaturan swap mata wang ini mencerminkan kerjasama kewangan yang terus kukuh antara Bank Indonesia dengan Bank Negara Malaysia, dan akan terus membina keyakinan pasaran terhadap asas ekonomi kedua-dua negara. Pembaharuan swap ini juga menunjukkan komitmen kami untuk memperkukuh kestabilan pasaran kewangan melalui usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas untuk transaksi dua hala antara Indonesia dengan Malaysia,” kata Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo.

[1] Sebanyak RM95 bilion pada tahun 2021
Bank Negara Malaysia
Bank Indonesia
27 September 2022
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.