Pembaharuan struktur bagi Malaysia dibincangkan dalam BNM Sasana Symposium yang julung-julung kali diadakan

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1100 pada Khamis, 8 Jun 2023
08 Jun 2023 Siaran Akhbar
  • Tujuh sesi panel: Daripada topik ekonomi makro kepada isu semasa yang penting seperti penipuan kewangan, pendigitalan tuntutan insurans motor dan perlindungan sosial
  • Pameran yang mengetengahkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Indonesia, Singapura dan Thailand

Bank Negara Malaysia (BNM) menganjurkan BNM Sasana Symposium 2023 (SS2023) yang pertama pada hari ini di Sasana Kijang. Lebih 700 jemputan menghadiri wacana satu hari ini yang membincangkan topik-topik penting melalui tujuh sesi panel dan pameran yang mengetengahkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan.

Semasa pelancaran SS2023, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menekankan pentingnya pembaharuan struktur.

“Bagi menjamin masa hadapan negara, Malaysia perlu terus melaksanakan pembaharuan-pembaharuan penting. Kita perlu meningkatkan lagi pertahanan untuk menghadapi krisis. Kita perlu meneliti keutamaan negara secara kritis bagi mempertingkat potensi pertumbuhan dan mencapai matlamat kelestarian negara. Kita perlu membina semula penampan yang telah digunakan bagi memantapkan daya tahan negara terhadap kejutan pada masa hadapan. Dan kita perlu meningkatkan keupayaan untuk membuat penyesuaian dan perubahan bagi menguruskan risiko dan menggunakan peluang yang akan datang. Penyelesaian bagi banyak cabaran yang dihadapi Malaysia memerlukan pendekatan seluruh negara. Dan dengan sebab itulah, tema bagi Simposium ini adalah Pembaharuan Struktur ke Arah Malaysia yang Lebih Teguh,” kata Gabenor.

Sorotan utama di SS2023 ialah jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Indonesia, Singapura dan Thailand. SS2023 mengetengahkan pameran bersama-sama dengan pengusaha makanan daripada Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. Peserta simposium boleh mengambil peluang membuat pembayaran QR rentas sempadan secara terus apabila membeli juadah tempatan daripada pengusaha makanan dari negara-negara tersebut.

Pelanggan institusi kewangan peserta[1] kini boleh membuat pembayaran runcit dengan cara mengimbas kod QR QRIS, NETS, dan PromptPay menerusi perbankan mudah alih atau aplikasi e-dompet. Kaedah pembayaran ini memudahkan pembayaran secara peribadi di premis perniagaan serta transaksi e-perdagangan dalam talian. Pelancong dari Indonesia, Singapura dan Thailand juga boleh melakukan kaedah pembayaran yang sama di Malaysia.

 

[1] Institusi kewangan peserta di Malaysia: CIMB Bank Berhad, Hong Leong Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Public Bank Berhad, dan TNG Digital Sdn. Bhd.

Lihat juga: Ucapan Alu-Aluan SS2023 oleh Gabenor.


Bank Negara Malaysia
08 Jun 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?