Pembeli rumah kali pertama terus mendapat akses kepada pembiayaan
Sebagai respons kepada pertanyaan media baru-baru ini mengenai permintaan supaya garis panduan pemberian pinjaman Bank Negara Malaysia (Bank) dikaji semula, Bank ingin memaklumkan bahawa pembeli rumah kali pertama terus mendapat akses kepada pembiayaan. Pinjaman perumahan terkumpul terus berkembang pada kadar dua angka, dengan pertumbuhan sebanyak 10.6% pada akhir bulan Mei 2016. Kira-kira 75% daripada peminjam (lebih kurang 1.5 juta peminjam) dengan pinjaman perumahan merupakan pembeli rumah kali pertama.
Pihak Bank ingin menjelaskan bahawa akses kepada kredit bukan merupakan masalah yang dihadapi oleh bakal pembeli rumah untuk memiliki rumah mampu milik. Terdapat isu lebih penting yang perlukan penyelesaian iaitu kemampuan membeli dan kekurangan bekalan rumah pada harga yang berpatutan.
Garis panduan pembiayaan berhemat oleh Bank bertujuan untuk memastikan individu meminjam mengikut kemampuan mereka membayar balik pinjaman. Ini meletakkan tanggungjawab kepada bank untuk memastikan pendapatan peminjam yang ada boleh menampung pembayaran balik hutang, setelah mengambil kira perbelanjaan dan keperluan luar jangka. Ini bagi melindungi dan mengelakkan seseorang individu daripada terjebak dalam masalah kewangan akibat terlebih meminjam, yang akhirnya menyebabkan mereka hilang hak milik rumah berikutan rampasan harta tanah (foreclosures).
Bank Negara Malaysia tidak menetapkan sebarang had pemberian pinjaman. Pemberian pinjaman ditentukan oleh keputusan perniagaan bank yang mencerminkan kesanggupan mengambil risiko dan strateginya. Sebagai panduan asas, semua pemohon yang memenuhi kriteria kredit dan mampu membayar balik hutang akan diberikan akses kepada kredit.
Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta Persatuan Bank-bank dalam Malaysia terus mengadakan perbincangan dan interaksi dengan pihak-pihak berkuasa negeri untuk menambah baik proses meluluskan permohonan untuk rumah mampu milik bagi memastikan mereka juga layak mendapatkan pembiayaan bank. Ini termasuk membantu individu untuk mengetahui langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan kelayakan mereka mendapatkan pembiayaan.
Untuk pertanyaan lanjut mengenai akses kepada pembiayaan, pengguna kewangan boleh menghubungi:
Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (BNMLINK)
(Pusat Khidmat Pelanggan bagi Pengunjung)
Tingkat Bawah, Blok D,
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang (Isnin-Jumaat)
Pusat Perhubungan (BNMTELELINK)
Tel: 1-300-88-5465 (1-300-88-LINK)
(Luar Negeri: 603-2174-1717)
Faks: 603-2174-1515
E-mel: [email protected]
SMS: 15888
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang (Isnin-Jumaat)
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.