Pembentangan Panel oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani di Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara 2025

Bangkok, Thailand | 16 Julai 2025

'Asas Wang: Asal, Konsep dan Operasi dalam Ekonomi Moden'

 

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur, ISRA Institute, INCEIF atas undangan untuk memberikan ucapan serta usaha mereka dalam menganjurkan forum penting ini. Acara seperti ini memainkan peranan utama bagi menggalakkan dialog, berkongsi pandangan dan memantapkan iltizam kita untuk bersama-sama memajukan sistem kewangan Islam Malaysia.

Tema Muzakarah 2025 iaitu “Transformasi Sistem Kewangan Islam yang Bersepadu” adalah relevan dan tepat pada masanya. Tema ini mengajak kita untuk memahami dinamik industri kewangan Islam yang semakin berkembang dan yang lebih penting, cara kita boleh bersama-sama membentuk ekosistem kewangan Islam yang berdaya tahan dan berpandangan ke hadapan.

Dalam menghadapi persekitaran global yang semakin kompleks, sektor kewangan Islam Malaysia perlu terus membuat penyesuaian, berinovasi dan memperkukuh komitmennya terhadap tadbir urus yang mantap dan pertumbuhan yang inklusif, di samping mendukung prinsip-prinsip Syariah.

Inovasi kewangan menuntut pemikiran melangkaui tradisi

Landskap kewangan sedang berkembang dengan pelbagai kemajuan dan inovasi teknologi. Perkembangan ini menuntut kita untuk mentakrifkan semula konsep wang. Hal ini memerlukan penerokaan yang lebih mendalam terhadap bentuk wang moden dan implikasinya. Kita sedang menyaksikan penerokaan peralihan daripada instrumen kewangan tradisional seperti wang tunai, duit syiling dan dompet digital kepada aplikasi kes penggunaan (use cases) seperti Mata Wang Digital Bank Pusat (Central Bank Digital Currency, CBDC), stablecoin dan tokenisasi aset.

Pertimbangan Syariah perlu diambil kira semasa kita mengkaji perkembangan ini. Kita mungkin menghadapi cabaran yang disebabkan oleh pemikiran tradisional mengenai sifat dan hakikat wang (contohnya, konsep wang sebagai komoditi). Pergantungan semata-mata pada pemahaman arus perdana boleh mengehadkan keupayaan kita, termasuk cabaran untuk memastikan tindakan dasar dan pertimbangan Syariah yang mampu menghadapi masa hadapan.

Dalam hal ini, izinkan saya berkongsi dalam Muzakarah hari ini, suatu pandangan alternatif mengenai wang. Pemikiran semula wang di luar kerangka tradisional mungkin menghasilkan rumusan dasar yang bermaklumat dan bersedia menghadapi masa hadapan.

Pemahaman arus perdana mengenai wang adalah berdasarkan perspektif komoditi

Mengapakah wang wujud serta bagaimanakah wang muncul dan berkembang dalam masyarakat awal manusia? Naratif yang lazim diceritakan mungkin sudah diketahui oleh anda semua. Naratif ini juga biasanya diceritakan dalam buku teks ekonomi pengenalan, malah dalam beberapa penerbitan bank pusat.

Naratif arus perdana menyatakan bahawa sebelum wujudnya wang, manusia bertukar barang atau komoditi antara satu sama lain. Contohnya, seekor kambing ditukar dengan segantang jagung. Namun, sistem ini sukar kerana "kehendak yang sepadan pada masa yang sama" (double coincidence of wants) sukar dicapai.

Wang dikatakan telah menyelesaikan masalah "kehendak yang sepadan pada masa yang sama" ini. Sebagai alternatif kepada setiap individu cuba memadankan komoditi mereka dengan komoditi yang diingini oleh orang lain, satu komoditi kini berfungsi sebagai nilai pertukaran yang diterima secara universal.

Berikutan wang memudahkan aktiviti pertukaran dalam pasaran, wang ditakrifkan sebagai medium pertukaran (medium of exchange). Oleh itu, apa-apa medium pertukaran dianggap sebagai wang. Namun, naratif ini berdasarkan andaian ahli ekonomi bahawa manusia merupakan makhluk rasional yang bertindak semata-mata untuk memaksimumkan kepentingan atau kepuasan mereka sebagai individu. Jika kita melihat masyarakat sebenar dalam sejarah atau masyarakat "primitif" yang wujud pada zaman moden, adakah naratif ini benar?

Pandangan alternatif yang mencadangkan wang bermula sebagai kredit

Masyarakat yang beroperasi sepenuhnya berdasarkan sistem barter tidak pernah wujud. Dalam masyarakat "primitif", pertukaran barangan dibuat melalui pemberian hadiah, amalan timbal balas dalam masyarakat (social reciprocity) atau mekanisme pengagihan semula. Dapat kita perhatikan di sini bahawa amalan timbal balas merupakan sejenis hutang, namun tidak dikuatkuasakan melalui perundangan dan tidak diukur secara terperinci.

Sebagai alat ukuran nilai, wang pada mulanya digunakan sebagai unit ukuran hutang. Hutang boleh dan sememangnya wujud tanpa pasaran dan mekanisme medium pertukaran. Contohnya, hutang yang berpunca daripada pampasan kerosakan harta, pampasan nyawa (blood money) atau pengenaan cukai oleh pihak berkuasa.

Sistem kredit dan perbankan wujud ribuan tahun sebelum duit syiling pertama dicipta. Ribuan batu bersurat yang memaparkan tulisan pepaku daripada zaman Mesopotamia purba telah ditemui. Kebanyakannya merupakan resit deposit dan kontrak kewangan. Ada kalanya, batu bersurat ini menjadi instrumen pembawa, serupa dengan nota janji hutang (promissory note) moden.

Syiling terawal yang ditemui sekitar 700 SM diperbuat daripada elektrum, iaitu sejenis aloi emas dan perak yang dijumpai di Lydia (terletak di lokasi negara Turki pada masa kini). Walau bagaimanapun, nilai duit syiling ini terlalu tinggi untuk transaksi bernilai rendah. Bukti menunjukkan bahawa duit syiling pada mulanya digunakan untuk perbelanjaan kerajaan dan bukan untuk aktiviti harian. Oleh itu, wang dalam bentuk duit syiling berkembang sebagai fenomena sosial dan kerajaan.

Hakikatnya, semua wang yang kita gunakan hari ini ialah kredit boleh pindah (transferable credit) / IOU

Terdapat lebih daripada satu jenis wang dan setiap jenis digunakan oleh golongan yang berbeza:

  • Wang dalam Edaran (Currency in Circulation, CIC) - terdiri terutamanya daripada wang kertas dan duit syiling fizikal.
  • Deposit bank - jenis wang yang paling lazim pada masa kini. Untuk keselesaan, orang ramai menyimpan wang secara elektronik dalam akaun bank, seperti akaun semasa atau akaun simpanan.
  • Rizab bank pusat - sejenis wang khas yang digunakan oleh bank-bank perdagangan.

Semua jenis wang ini merupakan IOU yang istimewa kerana boleh diedarkan kepada individu lain dalam ekonomi. Setiap jenis wang merupakan IOU daripada satu sektor ekonomi kepada sektor ekonomi lain.

Setiap jenis wang digunakan oleh individu dan institusi yang berbeza. Pengguna menggunakan CIC atau deposit bank untuk membuat pembayaran antara satu sama lain. Deposit bank juga digunakan dalam transaksi antara bank dengan pelanggan mereka.

Bagi tujuan pembayaran dan penyelesaian antara bank, rizab bank pusat digunakan. Di Malaysia, rizab bank pusat ini dikendalikan dalam sistem RENTAS negara. Rizab bank pusat juga digunakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam operasi monetarinya.

Sistem monetari semasa merupakan sistem kredit yang terdiri daripada aset dan liabiliti

Semua bentuk wang yang wujud hari ini merupakan aset kewangan, iaitu merupakan tuntutan ke atas seorang ejen ekonomi atau pihak lain. Aset bukan kewangan seperti tanah atau emas bukanlah tuntutan ke atas sesiapa kerana aset ini merupakan komoditi.

Oleh kerana aset kewangan ialah suatu tuntutan, aset kewangan juga merupakan liabiliti kewangan. Aset kewangan seseorang ialah hutang atau liabiliti kepada pihak lain. Komoditi, atau aset bukan kewangan, tidak mempunyai hutang atau liabiliti yang sepadan.

Wang merupakan aset dan liabiliti, dan sistem monetari ialah sistem kredit yang terdiri daripada aset dan liabiliti. Sistem ini tidak mempunyai bentuk fizikal, tetapi wujud sebagai titik data atau catatan baki. Seperti yang ditunjukkan dalam rajah secara ringkas (rujuk slaid 6), semua bentuk wang yang digunakan hari ini adalah saling berkait. Setiap jenis wang direkodkan dua kali, iaitu sebagai aset dan liabiliti dalam kunci kira-kira (balance sheet) yang berbeza.

Deposit bank merupakan liabiliti kepada bank perdagangan, iaitu mewakili obligasi hutang bank perdagangan kepada para pendeposit. CIC fizikal pula, walaupun lazimnya tidak dianggap sebagai liabiliti oleh orang ramai, sebenarnya ialah IOU yang catatan perakaunannya tertera di atas wang kertas dan duit syiling.

Jenis wang yang berbeza dikeluarkan oleh pengeluar yang berbeza sebagai liabiliti

Tidak semua wang dikeluarkan oleh bank pusat. Malah, kebanyakan wang dalam ekonomi dikeluarkan oleh bank perdagangan dalam bentuk deposit bank. Wang yang dikeluarkan oleh bank pusat merupakan wang awam kerana disandarkan kepada negara. Wang yang dikeluarkan oleh bank perdagangan pula ialah wang swasta kerana wang tersebut merupakan tuntutan ke atas bank perdagangan itu sendiri.

Penting untuk dijelaskan di sini bahawa apabila wang dikeluarkan, sama ada oleh bank pusat atau bank perdagangan, wang tersebut merupakan liabiliti penerbit wang tersebut dan bukan sebagai aset. Secara analogi, jika seseorang itu membeli telefon baharu secara ansuran, individu tersebut kini berhutang dengan kedai telefon (penjual) dan  sebenarnya telah "menerbitkan" liabiliti, sebagai pertukaran untuk telefon baharu.

Liabiliti deposit ditukar dengan suatu kredit (IOU) yang lain. Sebagai contoh, apabila pelanggan mendepositkan wang tunai secara fizikal ke dalam bank, bank tersebut menerbitkan liabiliti baharu dalam bentuk deposit bank baharu yang menjadi aset baharu pelanggan. Pelanggan akan melihat akaunnya dikreditkan.

Namun begitu, kebanyakan deposit dicipta apabila bank memberikan pinjaman dengan mewujudkan deposit yang sepadan dalam akaun bank peminjam. Bank tidak meminjamkan CIC atau deposit bank sedia ada kepada peminjam.

Pinjaman tidak datang daripada wang sedia ada, sebaliknya pinjaman mencipta wang baharu

Proses penciptaan wang oleh sistem perbankan komersial lazimnya tidak difahami oleh orang ramai, walaupun terdapat banyak penulisan oleh bank-bank pusat selepas krisis kewangan global pada tahun 2008.

Satu salah tanggapan yang masih meluas ialah bank hanya bertindak sebagai pengantara wang antara penyimpan dengan peminjam. Dalam pemahaman ini, wang yang dipinjamkan kepada peminjam datang daripada deposit sedia ada, iaitu deposit mencipta pinjaman. Hakikatnya, seperti yang dijelaskan sebelum ini, wang dalam bentuk deposit bank dicipta oleh bank perdagangan melalui tindakan pemberian pinjaman, iaitu pinjaman mencipta deposit.

Bank-bank masih merupakan pengantara tetapi sebagai pengantara kredit (credit intermediary). Jika seseorang ingin membeli rumah daripada penjual, bank menjadi pengantara bagi pembeli dan penjual, dengan menggantikan IOU pembeli dengan IOU bank itu sendiri.

Salah tanggapan kedua ialah pemberian pinjaman oleh bank dihadkan oleh jumlah rizab bank pusat. Semakin tinggi keperluan rizab (reserve requirement), semakin kurang wang yang boleh tercipta. Hakikatnya, bank pusat menyasarkan kadar faedah sebagai alat dasar monetarinya, bukan jumlah rizab. Bank perdagangan kemudian membuat keputusan mengenai jumlah untuk dipinjamkan berdasarkan peluang untuk membuat keuntungan.

Keyakinan memastikan wang dalam sistem berasaskan kredit berfungsi

Sebagai IOU, wang memerlukan keyakinan. IOU hanya diterima jika penerbitnya dipercayai. Apabila 'I' dan 'U' tidak mengenali antara satu sama lain, institusi diperlukan untuk mewujudkan dan mengekalkan keyakinan tersebut. Dengan cara ini, sebarang wang yang diterbitkan boleh digunakan di semua tempat sebagai pertukaran untuk barangan dan perkhidmatan.

Bagi deposit bank (wang bank perdagangan), orang ramai perlu yakin bahawa deposit bank boleh dikeluarkan sebagai wang tunai dan nilainya kekal setara dengan CIC. Nilai ini dikekalkan melalui beberapa cara:

  • Menjamin kebolehterimaan untuk pembayaran cukai. Hal ini memastikan ada pihak yang sentiasa bersedia menerima wang tersebut, iaitu pihak kerajaan.
  • Skim insurans deposit memberikan jaminan bahawa pengeluaran tunai boleh dibuat sehingga jumlah tertentu.
  • Akses kepada mudah tunai bank pusat melalui pelbagai kemudahan. Bank pusat akan sentiasa memenuhi keperluan mudah tunai sistem perbankan, dengan syarat kedudukan kewangan bank perdagangan tersebut kukuh.

Paling penting, untuk orang ramai menggunakan wang, mereka perlu yakin bahawa nilainya tidak banyak berubah dari semasa ke semasa. Kestabilan monetari ini dikekalkan oleh bank pusat melalui pertama, matlamat yang jelas dan kedua, keupayaan untuk mencapai matlamat tersebut, dilengkapi dengan alat yang sesuai.

Mempromosikan kestabilan monetari sebagai sebahagian daripada mandat utama BNM

Menurut Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Cental Bank of Malaysia Act 2009, CBA 2009), salah satu matlamat utama BNM adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan, di samping memastikan kestabilan kewangan.

BNM diberikan mandat untuk memastikan matlamat utama kestabilan monetari iaitu "mengekalkan kestabilan harga" dengan "mengambil kira perkembangan dalam ekonomi dengan sewajarnya".

  • Kestabilan harga bermaksud memelihara kuasa beli dalam negeri yang akan membantu menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang dan memastikan inflasi kekal rendah dan stabil.
  • Pertumbuhan ekonomi berlaku apabila saiz ekonomi meningkat mengikut peredaran masa yang diukur menggunakan keluaran dalam negeri kasar (KDNK).
  • Pertumbuhan mampan ialah kadar ekonomi boleh terus berkembang pada kadar yang stabil dalam sesuatu tempoh yang panjang untuk memastikan hasil yang positif kepada ekonomi.

Pada asasnya, dasar monetari merupakan salah satu alat utama untuk mengawal inflasi melalui kesannya terhadap keadaan permintaan keseluruhan. Walaupun perlu, dasar monetari semata-mata tidak mencukupi untuk menangani inflasi sepenuhnya. Dasar ini akan dilengkapi dengan langkah-langkah relevan lain.

Kadar Dasar Semalaman berfungsi sebagai alat dasar monetari untuk mencapai kestabilan monetari

BNM, melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC), melaksanakan tanggungjawab dasar monetari dengan menentukan dan melaraskan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR). OPR adalah satu-satunya penunjuk yang digunakan untuk memberikan isyarat mengenai pendirian dasar monetari dan OPR diumumkan menerusi Pernyataan Dasar Monetari (Monetary Policy Statement, MPS).

Semasa permintaan kukuh dan inflasi tinggi, BNM menaikkan OPR yang menyebabkan kos pinjaman bank lebih mahal. Pinjaman pengguna menjadi lebih mahal, manakala simpanan menjadi lebih menarik. Keadaan ini mengurangkan perbelanjaan dan pelaburan, yang seterusnya mengurangkan permintaan. Hal ini meredakan tekanan terhadap harga, sekali gus mengawal inflasi.

Pergantungan pada dasar monetari sahaja tidak mencukupi untuk menangani kenaikan inflasi. Tambahan pula, dasar monetari mengambil masa yang lama untuk memberikan kesan (dianggarkan hingga dua tahun). Hasil dasar monetari bergantung pada kesan terhadap tingkah laku bank, pengguna, perniagaan dan permintaan keseluruhan. Tempoh tindak balas yang lama ini bermakna harga mungkin terus meningkat untuk sementara waktu sebelum menjadi stabil.

Oleh itu, menangani inflasi memerlukan alat dasar pelengkap lain untuk mempengaruhi harga yang ditanggung oleh isi rumah, terutamanya mereka yang terjejas disebabkan oleh faktor bekalan. Sebagai contoh, dasar fiskal boleh melengkapi dasar monetari untuk mengawal inflasi.

Penutup

Merenung semula pemahaman terkini berkenaan "wang moden sebagai kredit", wujud keperluan untuk menilai sama ada perlunya pandangan terkini atau alternatif mengenai wang moden dan penciptaannya daripada perspektif Syariah.

Saya yakin Muzakarah ini akan menjadi wacana yang baik untuk rangkaian pakar Syariah mengadakan perbincangan yang bermakna berkenaan topik penting ini.

Sesungguhnya tiada jawapan yang mudah dan perkara ini memerlukan analisis yang mendalam dan penilaian terperinci dari segi teori dan pelaksanaan. Analisis dan penilaian ini melibatkan dialog yang berterusan dengan pihak berkepentingan utama iaitu para ulama Syariah, pengawal selia, ahli ekonomi makro, pengamal industri serta orang ramai, jika berkaitan.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana mengundang saya pada hari ini. Menjadi satu penghormatan bagi saya untuk berucap di hadapan para pemimpin Syariah yang sangat dihormati dan disegani dari pelbagai negara di Nusantara ini.

Saya amat berharap bahawa pembentangan saya hari ini dapat memberikan gambaran yang tepat berhubung dengan Kertas Kerja BNM yang baru diterbitkan bertajuk "Fundamentals of Modern Money and its application to Central Bank Digital Currency (CBDC) – An Exploratory Shariah Analysis" hasil kajian pasukan penyelidik Jabatan Sistem Kewangan Islam BNM. Kertas kerja ini boleh diakses melalui laman sesawang BNM.

Saya mengucapkan selamat berdiskusi dan semoga muzakarah ini akan memberikan manfaat kepada semua, insya-Allah.

Terima kasih.

 

Bacaan iringan: Slaid Pembentangan

Baca juga: Fundamentals of Modern Money and its application to Central Bank Digital Currency (CDBC) – An Exploratory Shariah Analysis (BNM Working Paper 3/2025)


Bank Negara Malaysia
18 Julai 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?