Pemberian Status "Emas" bagi Terbitan Sukuk oleh Axiata Group Bhd., Bank Pembangunan Islam dan Khazanah Nasional Berhad

Embargo: Untuk siaran segera
19 Sep 2012 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pemberian status "Emas" bagi terbitan sukuk RMB1 bilion oleh Axiata Group Berhad (Axiata), sukuk USD800 juta oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) dan sukuk boleh tukar USD357.8 juta oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah). Status "Emas" ini diberikan hari ini di Forum Kewangan Islam Global 2012 (Global Islamic Finance Forum, GIFF) yang dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia.

Sukuk Axiata RMB1.0 bilion merupakan sukuk berstatus "Emas" pertama yang diberikan kepada Axiata Group. Terbitan ini merupakan sukuk dalam denominasi RMB kedua dunia yang diterbitkan di Malaysia, selepas sukuk pertama yang diterbitkan oleh Khazanah berjumlah RMB500 juta. Sukuk RMB Emas Axiata yang diterbitkan pada 18 September 2012 ini telah ditambah kepada RMB1 bilion daripada RMB500 juta berikutan permintaan yang amat menggalakkan daripada para pelabur dunia, lantas menyebabkan sukuk ini telah terlebih langganan sebanyak tujuh kali saiz terbitan asalnya.

Sukuk IDB USD800 juta merupakan sukuk berstatus "Emas" kedua yang diberikan kepada IDB, selepas yang pertama pada tahun 2010. Sukuk yang diterbitkan pada bulan Jun 2012 ini adalah sebahagian daripada Nota Jangka Sederhana Islam pelbagai mata wang IDB bernilai USD3.5 bilion atau program sukuk IDB.

Sukuk Khazanah boleh tukar bernilai USD357.8 juta telah diterbitkan pada bulan Mac 2012. Sukuk ini boleh ditukar kepada saham Parkson Retail Group Limited,  salah sebuah pengendali pasar raya terbesar di Republik Rakyat China.

Terbitan kesemua sukuk ini adalah susulan terbitan instrumen-instrumen pembiayaan Islam dalam mata wang asing di Malaysia sejak tahun 2009, termasuk sukuk Petronas USD1.5 bilion, sukuk Kerajaan Malaysia USD1.25 bilion, sukuk Nomura USD100 juta, serta sukuk Khazanah SGD1.5 bilion dan RMB500 juta, sejajar dengan status Malaysia sebagai pasaran sukuk pelbagai mata wang yang semakin berkembang.


Sukuk "Emas"

"Emas" merupakan status yang diberikan oleh Malaysia kepada terbitan bon dan sukuk dalam denominasi mata wang asing dari Malaysia dalam pasaran modal global. "Emas" ialah perkataan Melayu yang melambangkan nilai dan keselamatan sejagat.

Mengenai MIFC

Inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre, MIFC) telah dilancarkan pada tahun 2006 untuk membangunkan Malaysia sebagai hab antarabangsa kewangan Islam; pusat pertemuan mereka yang mempunyai lebihan dana dan mereka yang ingin mendapatkan dana, dari serata dunia. Malaysia juga merupakan pusat inovasi dan kepimpinan berwawasan dalam kewangan Islam.

Inisiatif MIFC ini terdiri daripada rangkaian komuniti pengawal selia sektor kewangan negara, termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan dan Bursa Malaysia (Bursa Saham Kuala Lumpur), kementerian dan agensi Kerajaan, bersama-sama dengan peserta industri daripada institusi perbankan, takaful, takaful semula, pasaran modal, institusi pembangunan modal insan dan syarikat khidmat bantuan profesional yang menyertai dan bekerjasama dalam kewangan Islam. Malaysia mengalu-alukan pengamal industri untuk menjalankan perniagaan antarabangsa dalam kewangan Islam dalam persekitaran perniagaan yang amat kondusif. Sebagai destinasi pelaburan kewangan, Malaysia menyediakan platform selain menjadi pintu masuk bagi peluang pelaburan berlandaskan Syariah global melalui inisiatif MIFC. Pelbagai institusi kewangan antarabangsa di Malaysia bersedia menawarkan bidang kepakaran yang luas serta rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan dalam kewangan Islam.

Jawatankuasa Eksekutif MIFC (ExCo) dianggotai pegawai-pegawai tertinggi  daripada kementerian dan agensi Kerajaan yang utama; pengawal selia kewangan dan pasaran serta institusi kewangan. Matlamat jawatankuasa ini adalah untuk menyelaraskan hala tuju dan pelaksanaan inisiatif MIFC secara berkesan dan cekap. Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif MIFC, sila layari www.mifc.com.


Bank Negara Malaysia
19 September 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?