Pemberian Status “Emas” kepada Sukuk Sime Darby

Embargo: Untuk siaran segera
15 Mei 2013 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia mengumumkan pemberian status "Emas" kepada sukuk terbitan Sime Darby Berhad bernilai USD800 juta. Status “Emas” ini diberikan hari ini pada Sesi Perbincangan Perniagaan Mengenai Pelaburan Beretika anjuran Bank Negara Malaysia bersempena Persidangan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam ke-10 (Islamic Financial Services Board, IFSB). Ini merupakan kali kesebelas pemberian status tersebut kepada penerbit sukuk sejak status “Emas” mula diperkenalkan pada tahun 2009. “Emas” merupakan status yang diberikan oleh Malaysia kepada terbitan bon dan sukuk dalam denominasi mata wang asing dari Malaysia dalam pasaran modal global.
 
Terbitan sukuk Emas buat julung kalinya oleh Sime Darby telah menarik permintaan yang amat menggalakkan, khususnya dari rantau Asia. Pelabur Asia mencakupi kira-kira 70% daripada jumlah terbitan sukuk ini, dan sukuk ini telah terlebih langganan sebanyak 10 kali.
 
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, negara-negara, bank pembangunan multilateral dan syarikat multinasional telah memperoleh dana di Malaysia. Pasaran (marketplace) Malaysia bagi kewangan Islam disokong dengan baik oleh pasaran utama yang mendalam dan urus niaga pasaran sekunder yang aktif untuk terbitan sukuk, serta maklumat pasaran yang efisien dan terdapatnya kepakaran dalam pasaran ini. Sukuk Emas telah diterbitkan dalam pelbagai mata wang, iaitu Dolar Amerika Syarikat, Dolar Singapura dan Renminbi. 


Bank Negara Malaysia
15 Mei 2013

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?