Pembetulan tentang artikel media berhubung dengan Bestino Golden House Sdn Bhd
Kami ingin menarik perhatian orang ramai terhadap beberapa artikel yang disiarkan dalam surat khabar Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris hari ini tentang "Bestino janji bayar balik pelabur".
Artikel tersebut menyatakan "syarikat akan memulangkan wang kepada pelabur, dan wang itu akan dibayar balik melalui seorang pentadbir yang dipersetujui oleh Bank Negara Malaysia".
Kami ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa sebarang pengaturan yang diumumkan oleh Bestino Golden House Sdn. Bhd. dalam laporan akhbar ialah urusan persendirian antara Bestino dengan pelaburnya. Bank Negara Malaysia tidak terlibat dalam sebarang urusan tersebut.
Kes terhadap pengarah-pengarah Bestino Golden House Sdn. Bhd masih lagi berlangsung dan tarikh perbicaraan berikutnya telah ditetapkan pada 19 September 2011. Empat pengarah Bestino Golden House Sdn. Bhd telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Februari 2011 kerana kesalahan pengambilan deposit secara haram di bawah seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 dan seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.