Pembinaan Pusat Sumber Perkhidmatan Kewangan Telah Bermula
Pembinaan Pusat Sumber Perkhidmatan Kewangan (FSRC) kini telah dimulakan, berkuat kuasa 15 November 2005. Ia merupakan pelaburan Malaysia dalam sebuah pusat pengetahuan dengan kemudahan pembelajaran dan penyelidikan bagi menyokong pembangunan budaya berprestasi tinggi untuk sektor perbankan dan kewangan.
FSRC akan menempatkan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam antarabangsa (IFSB) dan Pusat Penyelidikan dan Latihan Bank-bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) serantau. Ia merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia untuk menyokong pembangunan kewangan Islam global. Pusat Penyelidikan dan Latihan SEACEN melambangkan komitmen Malaysia dalam memberikan latihan dalam bidang-bidang termasuk perbankan pusat, penyeliaan perbankan, kewangan Islam, pembelajaran eksekutif serta penyelidikan dan pembangunan di arena serantau dan antarabangsa. Malaysia ialah tuan rumah bagi kedua-dua institusi ini.
Selain itu, FSRC menyediakan kemudahan latihan canggih yang akan juga digunakan untuk mengadakan program berkaitan perbankan pusat bagi peserta asing di bawah tajaan Program Kerjasama Teknikal Kerajaan Malaysia. Ia termasuk menyediakan dewan persidangan, pejabat serta Pusat Pengurusan Pengetahuan untuk dikongsi bersama oleh entiti-entiti berkenaan. Muzium Kewangan dan Pusat Seni Bank Negara Malaysia yang pada masa ini berada di Bank Negara akan dipindahkan ke FSRC sebaik sahaja selesai pembinaannya dan akan terus dibuka kepada orang ramai.
FSRC yang terletak di Lot 43, Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur, meliputi kawasan binaan seluas 1.09 juta kaki persegi. Berikutan daripada proses tender yang menilai semua permohonan berdasarkan kriteria yang termasuk kualiti serta keupayaan teknikal dan komersial pasukan yang ditubuhkan untuk menyiapkan projek itu, kontraktor yang dilantik telah pun memulakan kerja dan pembinaan dijangka siap dalam masa dua tahun.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.