Pembukaan Pejabat Perwakilan Beijing Bank Negara Malaysia dan Inisiatif untuk Menggalakkan Perdagangan dan Pelaburan Dua Hala
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pembukaan pejabat perwakilannya di Beijing oleh Dato’ Sri Mustapha Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia. Turut hadir pada majlis pembukaan pejabat perwakilan tersebut ialah Dr. Zhou Xiaochuan, Gabenor People’s Bank of China dan Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia.
Penubuhan pejabat perwakilan Bank Negara Malaysia di Beijing ini menandakan satu lagi pencapaian dalam hubungan dua hala antara Republik Rakyat China dan Malaysia serta mencerminkan hubungan kewangan dan ekonomi yang lebih erat antara kedua-dua buah negara. Pejabat perwakilan ini berperanan sebagai pusat perhubungan penting antara pengawal selia China dengan peserta pasaran kewangan dan menggalakkan pemahaman lebih mendalam mengenai pembangunan ekonomi dan kewangan kedua-dua buah negara. Pejabat perwakilan Beijing merupakan pejabat perwakilan Bank Negara Malaysia yang ketiga di luar negeri yang memperlengkap pejabat perwakilan di London dan New York.
Bersempena pembukaan Pejabat Perwakilan Beijing Bank Negara Malaysia dan sebagai salah satu usaha berterusan untuk menggalakkan hubungan dua hala dalam bidang perdagangan dan pelaburan, Bank Negara Malaysia juga ingin mengumumkan perkara berikut:
Pertama, pengenalan Kemudahan Mudah Tunai Renminbi (Renminbi Liquidity Facility, RLF) kepada bank tempatan berlesen (di Malaysia) yang bertujuan untuk meningkatkan mudah tunai renminbi dalam pasaran domestik. RLF menyediakan saluran tambahan kepada bank tempatan berlesen untuk mendapatkan RMB daripada Bank Negara Malaysia atau mendepositkan RMB dengan Bank Negara Malaysia. RLF merupakan inisiatif yang terbentuk berikutan Pengaturan Swap Mata Wang antara Bank Negara Malaysia dengan People’s Bank of China yang diperbaharui pada 8 Februari 2012. Maklumat lanjut mengenai terma dan syarat RLF boleh didapati di laman sesawang FAST Bank Negara Malaysia. (https://fast.bnm.gov.my).
Kedua, bagi membantu perdagangan barangan dan perkhidmatan antarabangsa dengan pemastautin Malaysia, institusi kewangan bukan pemastautin yang memenuhi keperluan kehematan kini dibenarkan menyediakan pembiayaan perdagangan dalam ringgit melalui kerjasama dengan bank tempatan berlesen. Ini selaras dengan langkah menggalakkan penyelesaian dalam mata wang tempatan bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan, melalui pengurusan dedahan pertukaran asing yang lebih baik.
Ketiga, Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan People's Bank of China untuk mewujudkan Pengaturan Cagaran Merentas Sempadan (Cross-Border Collateral Arrangement, CBCA). Pada masa hadapan, CBCA akan membolehkan penggunaan cagaran dalam mata wang negara asal, sama ada dalam bentuk sekuriti atau tunai, untuk mendapatkan mudah tunai domestik daripada negara tuan rumah. Bank Negara Malaysia telah pun menandatangani CBCA dengan Monetary Authority of Singapore pada tahun 2011 dan Bank of Thailand pada tahun 2012.
Maklumat dan alamat untuk menghubungi Pejabat Perwakilan Beijing Bank Negara Malaysia adalah seperti yang berikut:
Units 23-25, Level 47, China World Tower, No 1, Jianguomenwai Avenue, Chaoyang District, Beijing 100004 China
Talian Am: +86 (10) 6505 5865
Talian Faks: +86 (10) 8535 1890

Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.