Pemenang AML/CFT Hackathon 2023

10 Jul 2023 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pemenang pertandingan Anti-Money Laundering/Counter Financing of Terrorism (AML/CFT) Hackathon 2023. Pertandingan yang dilancarkan pada bulan April 2023 ini telah menarik penyertaan lebih 660 peserta dari 140 pasukan, mewakili lebih 20 negara di rantau Asia-Pasifik. Para peserta yang terdiri daripada badan pengawal selia, agensi penguatkuasaan undang-undang, institusi kewangan, entiti swasta dan pelajar universiti telah bersaing untuk mencipta prototaip alat digital yang inovatif bagi memerangi jenayah kewangan. Sepanjang Hackathon berlangsung, bengkel-bengkel dan sesi bimbingan (mentoring) telah diadakan oleh 30 pakar teknologi dan AML/CFT untuk membimbing, mempersiap dan memberi semangat kepada para peserta. 

Para pemenang AML/CFT Hackathon 2023 ialah: 

 

 Sektor Awam 

 Sektor Swasta 

 Kategori Terbuka 

Johan 

Verifier (Australia) 

RMATES (Malaysia) 

KoderX (Singapura) 

Naib Johan 

CBI India (India) 

The Interns (Malaysia) 

H7N (Brazil) 

Ketiga 

TrackAML (Indonesia)  

Currypuff (Malaysia) 

MATA (Malaysia) 

Johan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai berjumlah USD5,000. Mereka juga akan turut berpeluang membentangkan prototaip yang dibangunkan kepada ketua-ketua delegasi Unit Perisikan Kewangan di mesyuarat Financial Intelligence Consultative Group (FICG[1]) yang akan diadakan pada bulan Julai tahun ini. 

Prototaip yang dipilih menjadi pemenang menyerlah dari aspek kreativiti. Verifier FIX yang dibangunkan oleh kumpulan Verifier merupakan platform yang membolehkan bank-bank berkongsi maklumat berkaitan tahap risiko jenayah kewangan dalam kalangan pelanggan dan pada masa yang sama memelihara privasi. OmniQuest yang dibangunkan oleh kumpulan RMATES memerhati corak dan anomali daripada jejak digital peranti mudah alih bagi mengesan aktiviti mencurigakan, seperti transaksi yang dibuat pada masa dan lokasi yang luar dari kebiasaan, dalam masa nyata. SentinelGuard yang dibangunkan oleh kumpulan KoderX pula bertujuan untuk mengurangkan serangan perisian hasad (malware) serta penyamaran identiti menerusi penyelarasan komunikasi antara bank dengan pengguna secara memanfaatkan platform mekanisme penyulitan keseluruhan (end-to-end encryption). Para hakim terdiri daripada pakar industri dari Malaysia, Australia, Indonesia, New Zealand dan Amerika Syarikat. 

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Marzunisham Omar, berkata: “Prototaip yang dibangunkan oleh para pemenang menunjukkan bahawa kita sememangnya mampu mengatasi jenayah kewangan dengan penyelesaian yang inovatif. Tugas penting seterusnya adalah untuk menukar prototaip ini kepada alat digital yang sebenar. Saya menyeru institusi kewangan dan badan pengawal selia serta agensi penguatkuasaan undang-undang untuk meneroka kesemua alat digital ini agar kita dapat memerangi jenayah kewangan bersama-sama dengan berkesan.” 

BNM mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan berterima kasih kepada semua pihak berkepentingan termasuk para hakim, mentor dan peserta atas komitmen dan kerjasama mereka dalam menjayakan acara ini. Rakaman majlis penutup Hackathon boleh ditonton menerusi laman Facebook AML Hackathon 2023 melalui pautan facebook.com/amlhackathon. 

Para pemenang AML/CFT Hackathon 2023 bersama-sama dengan Penolong Gabenor Abd. Rahman Abu Bakar (berdiri tujuh dari kanan).


[1] FICG merupakan badan serantau kolektif yang keahliannya terdiri daripada negara-negara ASEAN, New Zealand dan Australia. Badan ini bertujuan untuk menggalakkan, mempertingkatkan dan mengukuhkan kerjasama untuk memerangi jenayah kewangan.


Bank Negara Malaysia
10 Julai 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?