Penamatan Tabung untuk Industri Kecil dan Sederhana & Tabung Industri Bumiputera
Tan Sri Dato’ Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman, Gabenor, Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan bahawa memandangkan permintaan yang memberangsangkan di bawah Tabung Industri Kecil dan Sederhana (TIKS), kesemua peruntukan bagi tabung tersebut yang berjumlah RM1.85 bilion telah habis digunakan. Di samping itu, peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Tabung Industri Bumiputera (TIB) yang telah berjalan selama tujuh tahun juga telah hampir habis digunakan. Setakat 29 Februari 2000, jumlah pinjaman yang diluluskan di bawah TIKS dan TIB adalah masing-masing berjumlah RM3.5 bilion dan RM98 juta. Sehubungan ini, Kerajaan telah membuat keputusan untuk menutup kedua-dua tabung tersebut berkuatkuasa 3 April 2000. Walau bagaimanapun, peminjam-peminjam yang layak di bawah TIB boleh terus mendapatkan kemudahan pinjaman di bawah Tabung Usahawan Baru.
Dengan penutupan TIKS dan TIB, institusi-institusi kewangan pelaksana (IKP) di bawah kedua-dua tabung tersebut tidak lagi akan menerima permohonan baru berkuatkuasa dari 3 April 2000. Walau bagaimanapun, IKP akan terus memproses permohonan pinjaman yang diterima sebelum 3 April 2000.
Menyedari bahawa industri kecil dan sederhana adalah memainkan peranan yang penting dalam menyediakan kaitan (‘linkages’) dengan industri yang berorientasikan eksport, Kerajaan telah mengumumkan penubuhan Tabung Industri Kecil dan Sederhana 2 (TIKS2) dengan peruntukan sebanyak RM200 juta khusus bagi membantu IKS yang mempunyai kaitan dengan industri yang berorientasikan eksport. Skim TIKS2 ini akan ditadbirkan oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan tarikh berkuatkuasa penubuhan TIKS2 adalah pada 15 April 2000.
Permohonan pinjaman boleh dibuat dari semua IKP yang terdiri daripada semua bank perdagangan, semua syarikat kewangan, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad dan lima buah institusi kewangan pembangunan iaitu Bank Pertanian Malaysia, Bank Industri & Teknologi Malaysia Berhad, Bank Pembangunan & Infrastruktur Malaysia Berhad, Malaysian Industrial Development Finance Berhad dan Sabah Development Bank Berhad.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.