Penambahan RM35 juta kepada Geran Padanan iTEKAD Diumumkan dalam Belanjawan 2026
Bank Negara Malaysia (BNM) mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2026 untuk memperluas agenda rangkuman dan perlindungan kewangan.
Seperti yang diumumkan, tambahan sebanyak RM35 juta kepada geran padanan akan disediakan untuk inisiatif kewangan sosial iTEKAD. Kini, iTEKAD telah diperluas untuk bukan sahaja menggalakkan keusahawanan dan meningkatkan perlindungan tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan bagi golongan mudah terjejas. Peruntukan ini bertujuan untuk memperkukuh daya tahan dan keupayaan kewangan golongan sasaran, supaya mereka dapat meneruskan dan meningkatkan mata pencarian mereka. Dana ini akan dipadankan dengan dana kewangan sosial seperti derma (termasuk sumbangan tanggungjawab sosial korporat), zakat serta wakaf tunai. Butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
BNM turut mengalu-alukan pengumuman mengenai langkah-langkah untuk membantu menangani inflasi kos perubatan serta perlindungan perubatan. Bagi mencapai matlamat ini, Kerajaan dan industri telah memperuntukkan sebanyak RM60 juta untuk mempercepat pembaharuan kesihatan. Kerangka (design) produk asas insurans/takaful perubatan dan kesihatan akan dimuktamadkan pada akhir tahun 2025 dengan pelancarannya dijangka pada tahun 2027.
Klik di sini untuk teks ucapan Belanjawan 2026.

Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.