Penambahbaikan Kemudahan di bawah Dana BNM untuk PKS

02 Jul 2021 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan penambahbaikan kepada kemudahan-kemudahan yang akan membantu PKS, seperti yang berikut:

1. Peruntukan tambahan sebanyak RM4 bilion bagi Dana BNM untuk PKS

BNM akan menambah peruntukan untuk Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (Targeted Relief and Recovery Facility, TRRF) sebanyak RM2 bilion. Penambahan ini meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM6 bilion. TRRF bertujuan memberikan bantuan dan sokongan untuk pemulihan PKS dalam sektor perkhidmatan. Klik di sini untuk ciri terkini TRRF.

Selain itu, BNM juga akan menambah peruntukan untuk Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (All Economic Sector, AES) sebanyak RM2 bilion. Penambahan ini meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM6.5 bilion. Kemudahan AES ini terbuka kepada PKS daripada semua sektor ekonomi dan bertujuan untuk meningkatkan akses PKS kepada pembiayaan dan menyokong pertumbuhan. Klik di sini untuk ciri terkini kemudahan AES.

Penambahbaikan di atas telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri masing-masing di bawah pakej PEMERKASA+ dan PEMULIH.

2. Penambahbaikan ciri kemudahan

TRRF dan Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PENJANA Tourism Financing, PTF) telah ditambah baik untuk membolehkan PKS menggunakan sebahagian daripada pembiayaan untuk membayar balik pinjaman perniagaan yang sedia ada (iaitu pembiayaan semula). Jumlah maksimum yang boleh digunakan untuk pembiayaan semula adalah seperti yang berikut:

  • TRRF: hingga 30% daripada pembiayaan yang diluluskan

  • PTF: hingga 50% daripada pembiayaan yang diluluskan

Selain itu, penerima Kemudahan Bantuan Khas (Special Relief Facility) dan Pembiayaan PKS PENJANA (PENJANA SME Financing) kini layak untuk memohon PTF (hingga RM300,000 bagi setiap PKS). PTF bertujuan untuk menyokong PKS dalam sektor pelancongan dengan membantu mereka mengekalkan keupayaan dan membuat penyesuaian serta terus berdaya maju selepas pandemik. Klik di sini untuk ciri terkini PTF.

PKS yang berminat boleh terus memohon untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan ini daripada institusi kewangan peserta. PKS juga boleh merujuk bnm.gov.my/covid19 atau menghubungi kami melalui bnm.my/LINK jika mempunyai sebarang pertanyaan mengenai kemudahan pembiayaan BNM.


Bank Negara Malaysia
02 Julai 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?