Penaung Diraja bagi Inisiatif Kewangan Islam Malaysia
Bank Negara Malaysia, bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre, MIFC) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah, Sultan Perak Darul Ridzuan telah berkenan untuk menjadi Penaung Diraja bagi Inisiatif Kewangan Islam Malaysia.
Di bawah naungan baginda, pasaran kewangan Islam Malaysia dijangka terus mengeratkan hubungan muhibah dan hubungan dua hala yang kukuh yang telah terjalin antara Malaysia dengan negara-negara lain. Pasaran kewangan Islam Malaysia telah muncul sebagai salah satu destinasi utama dalam kewangan Islam, terutamanya pasaran perbankan Islam, sukuk, ekuiti Islam dan takaful. Kini, pasaran ini bercirikan rangka kerja pengawalan, penyeliaan, Syariah dan undang-undang yang mantap, pasaran sukuk primer yang mendalam dan pasaran sukuk sekunder yang aktif, mekanisme penentuan harga yang cekap, asas tenaga mahir yang pelbagai dengan keupayaan global, dan sistem penjelasan dan penyelesaian pelbagai mata wang yang cekap.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah diisytiharkan sebagai Sultan Perak Darul Ridzuan yang ke-35 pada 29 Mei 2014. Duli Yang Maha Mulia merupakan Canselor Universiti Malaya; Felo Kehormat Worcester College, University of Oxford dan Magdalene College, University of Cambridge; ahli Lembaga Amanah Oxford Centre for Islamic Studies, University of Oxford; Penaung Diraja Amanah Anugerah Merdeka; Felo Kehormat Institute of Strategic and International Studies; dan Felo Diraja Malaysian Institute of Defence and Security. Antara jawatan utama yang disandang oleh baginda sebelum ini termasuklah Yang DipertuaMajlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan Utusan Khas ke United Nations Alliance of Civilizations Conference. Duli Yang Maha Mulia mempunyai ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada University of Oxford dan Doktor Falsafah dalam Ekonomi Politik dan Kerajaan daripada Harvard University.
Jawatankuasa Eksekutif MIFC ditubuhkan pada pertengahan tahun 2006 untuk menyediakan hala tuju strategik dan memacu pelaksanaan dasar dan strategi ke arah mencapai agenda negara untuk memajukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa yang terunggul.
Bank Negara Malaysia
17 September 2014
Mengenai Pasaran Kewangan Islam Malaysia
Sejak mula diperkenalkan lebih daripada 30 tahun yang lalu, kewangan Islam di Malaysia telah berkembang menjadi pasaran kewangan Islam yang menyeluruh dan canggih. Pasaran ini bercirikan rangka kerja pengawalan, penyeliaan, Syariah dan undang-undang yang mantap, pasaran sukuk primer yang mendalam dan pasaran sukuk sekunder yang aktif, peserta dan tenaga mahir yang pelbagai dengan keupayaan dan kesalinghubungan global untuk urusan perniagaan di seluruh dunia, inovasi produk, jangkauan dan kedalaman dan sistem penjelasan dan penyelesaian pelbagai mata wang yang cekap. Pasaran kewangan Islam Malaysia terbuka kepada peserta industri dan pasaran global untuk bekerjasama dan saling memperoleh manfaat daripada persekitaran perniagaan yang sangat kondusif untuk inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga.
Pasaran kewangan Islam Malaysia dikendalikan oleh Komuniti Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) yang diasaskan pada pelancaran inisiatif MIFC pada tahun 2006. Komuniti MIFC merupakan rangkaian yang terdiri daripada pengawal selia sektor kewangan Malaysia, termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan dan Bursa Malaysia, kementerian dan agensi Kerajaan, peserta industri perbankan Islam, takaful, takaful semula dan pasaran modal Islam, institusi pembangunan modal insan serta syarikat perkhidmatan bantuan profesional daripada syarikat guaman dan penasihat Syariah kepada firma cukai dan audit serta syarikat penyelidikan.
Untuk maklumat lanjut mengenai pasaran kewangan Islam Malaysia, sila layari www.mifc.com
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.