Penerbitan Duit Syiling Peringatan Sempena Sukan SEA XXI 2001

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 0100 pada Khamis, 30 Ogos 2001
30 Ogo 2001 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pengeluaran tiga jenis duit syiling peringatan sahlaku sempena temasya Sukan SEA ke 21 pada 8 - 17 September 2001. Duit syiling peringatan tersebut ialah duit syiling emas, perak dan kupro-nikel. Duit syiling emas dan perak adalah dalam kualiti peruf, manakala duit syiling kupro-nikel adalah dalam kualiti kilatan istimewa (brilliant uncirculated).

Jenis Duit Syiling Peringatan

  • Set 2 dalam 1 (Duit syiling Emas dan Perak) Set 2 dalam satu mengandungi dua jenis duit syiling iaitu duit syiling emas dan perak. Duit syiling emas adalah seberat 8.16 gram dengan nilai muka RM100 dan dikeluarkan dalam kualiti peruf. Bagi duit syiling perak pula, ia mempunyai nilai muka RM10, juga dikeluarkan dalam kualiti peruf. Tempaan Set 2 dalam 1 ini terhad kepada 500 set sahaja dan dijual pada harga RM920.
  • Duit Syiling Peringatan Perak Duit syiling peringatan ini mempunyai nilai muka RM10 diperbuat daripada perak sterling dan dijual pada harga RM120.00 sekeping. Duit syiling ini ditempa pada kuantiti yang terhad sebanyak 3,000 keping sahaja.
  • Duit Syiling Kupro-nikel Duit syiling ini adalah dalam kualiti kilatan istimewa (brilliant uncirculated) diperbuat daripada campuran logam tembaga dan nikel. Ia mempunyai nilai muka RM1 dengan tempaan dibenar sebanyak 200,000 keping dan akan dijual pada harga RM5.00.

Rekabentuk

Rekabentuk duit syiling peringatan Sukan SEA ke 21 menggunakan maskot Sukan SEA ke 21 iaitu Si-Tumas. Di sebelah hadapan duit syiling emas terdapat Si-Tumas dalam karektor tupai yang mesra, ceria dan peramah. Bagi duit syiling perak pula terdapat Si Tumas beraksi dalam acara gimnastik manakala Si-Tumas dalam aksi renang pada duit syiling kupro-nikel. Di sebelah belakang kesemua duit-duit syiling tersebut pula dihiasi dengan simbol kecemerlangan dan kegemilangan iaitu logo Sukan SEA ke 21.

Spesifikasi Teknikal

Jenis Emas Perak Sterling Kupro-nikel
Kandungan logam Emas 91.6%
Tembaga 8.4%
Perak 92.5%
Tembaga 7.5%
Tembaga 75%
Nikel 25%
Klasifikasi Peruf Peruf Kilatan Istimewa
Diameter 22.0 mm 35.7 mm 33.7 mm
Berat 8.6 gram 21.7 gram 16.8 gram

Duit syiling peringatan ini ditempa oleh The Royal Mint of Malaysia dan akan mula dijual mulai hari ini (30 Ogos 2001). Orang ramai boleh mendapatkan duit syiling peringatan ini di 13 cawangan terpilih Bank Simpanan Nasional dan di The Royal Mint of Malaysia di Shah Alam.

Orang ramai boleh juga membuat pesanan untuk mendapatkan duit syiling peringatan ini dengan menghubungi The Royal Mint of Malaysia di talian 603 5519 1611/2/3 atau melalui faks ke 603 5519 8746.


Bank Negara Malaysia
30 Ogos 2001

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?