Penerbitan Parameter Syariah Rujukan 1 (Parameter Murabahah) untuk Menggalakkan Keselarasan Amalan
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan penerbitan dokumen Parameter Syariah Rujukan 1 atau Parameter Murabahah (SPR1) kepada semua institusi kewangan Islam di bawah kawal seliaan Bank Negara Malaysia. SPR1 merupakan dokumen pertama dalam siri Parameter Syariah yang diterbitkan untuk menjadi panduan dan rujukan bagi semua institusi kewangan Islam. Parameter-parameter Syariah lain yang sedang dirangka ialah Parameter Ijarah, Mudarabah, Musyarakah, Istisna' dan Wadiah. SPR1 ini yang telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia menandakan suatu pencapaian penting dalam usaha Bank untuk menggalakkan pembangunan industri kewangan Islam selanjutnya yang lebih selaras.
Inisiatif Parameter Syariah ini bertujuan untuk menerangkan dengan jelas ciri-ciri penting produk dan perkhidmatan kewangan Islam berdasarkan kontrak Syariah yang mendasarinya, yang telah diluluskan oleh lembaga-lembaga Syariah dan diterima pakai oleh institusi kewangan Islam. Penerbitan Parameter Syariah sebagai satu dokumen standard bertujuan untuk menyediakan kefahaman yang lebih komprehensif mengenai prinsip-prinsip dan asas bagi penggunaan kontrak Syariah. Objektif-objektif lain parameter ini termasuklah:-
- Untuk menjelaskan konsep, prinsip dan syarat dalam kontrak Syariah;
- Untuk memberi tumpuan pada ciri-ciri kontrak Syariah yang membentuk asas bagi produk dan perkhidmatan kewangan Islam;
- Untuk menyediakan asas bagi keputusan berkaitan dengan syarat-syarat, mekanisme dan pelaksanaan kontrak Syariah;
- Untuk membantu ahli profesional dan pengamal kewangan Islam membentuk dan membangunkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam; dan
- Untuk membantu perumusan dasar dan garis panduan mengenai kontrak-kontrak yang diterima pakai oleh industri perkhidmatan kewangan Islam.
SPR1 akan menjadi dokumen rujukan penting, terutamanya bagi institusi-institusi kewangan Islam, penasihat Syariah, ahli akademik, penyelidik, penuntut dan anggota masyarakat yang berminat dalam kewangan Islam. SPR1 menggariskan keperluan Syariah yang utama dalam sesuatu kontrak dan menyediakan contoh-contoh, kaedah-kaedah dan model-model untuk penggunaan kontrak secara praktikal. Selain itu, SPR1 juga akan menyumbang ke arah keselarasan selanjutnya dalam bidang tafsiran dan aplikasi pandangan dan pendapat Syariah khususnya dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Syariah. Dalam hal ini, dokumen parameter Syariah ini merupakan rujukan penting bagi Ahli Jawatankuasa Syariah dalam mencapai sebarang keputusan Syariah berhubung dengan urus niaga, produk dan perkhidmatan kewangan Islam.
Bagi memastikan kemantapan parameter Syariah ini, Bank Negara Malaysia telah menjalankan kajian yang mendalam serta mengumpulkan pelbagai fatwa dan keputusan Syariah yang dikeluarkan oleh beberapa lembaga Syariah tempatan dan luar negara. Kertas konsep ini kemudiannya dibentangkan pada Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, sebelum diedarkan kepada pihak industri, ahli-ahli akademik, badan-badan antarabangsa dan beberapa pihak berkepentingan lain untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan mereka.
Lihat juga:
- Parameter Syariah Rujukan 1 - Murabahah [PDF, 2.35MB]
- Parameter Syariah Rujukan 1 - Kontrak Murabahah (Soalan Lazim) [PDF, 83KB]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.