Pengawal Selia dan Pengamal Pembiayaan Mikro Berbincang Mengenai Rangkuman Kewangan
Bank Negara Malaysia dan Japan International Cooperation Agency (JICA) menjadi penganjur bersama Program Penasihat Rangkuman Kewangan (Financial Inclusion Advisers, FIA) yang diadakan di Kuala Lumpur pada 18 - 22 Januari 2010. Program FIA ini menumpukan pada usaha membangunkan modal insan dalam bidang pembiayaan mikro yang mapan. Program ini juga akan memberikan pengamal dan pengawal selia yang terlibat dalam usaha menggalakkan rangkuman kewangan, dengan idea yang praktikal melalui perkongsian pengalaman dalam bidang pembangunan struktur keinstitusian, pewujudan persekitaran yang diperlukan dan peningkatan tahap celik kewangan. Usaha untuk memperluas rangkuman kewangan bertujuan untuk membolehkan segmen masyarakat dari golongan yang berpendapatan rendah menyertai arus perdana ekonomi dan seterusnya membantu mengurangkan kemiskinan selain menggalakkan pembangunan ekonomi yang seimbang. FIA merupakan contoh kerjasama teknikal antara negara dan merupakan salah satu inisiatif yang disokong oleh Malaysia melalui pergerakan Kerjasama Pintar Commonwealth bagi Pengurusan Teknologi (CPTM).
Antara agenda penting program tersebut termasuklah Ucapan Khas oleh Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, dan Kata Alu-aluan oleh Cik Noriko Suzuki, Ketua Perwakilan Pejabat JICA Malaysia dan juga Datuk Dr. Mihaela Smith, Ketua Pegawai Eksekutif CPTM Ltd.
Meskipun kelembapan ekonomi global semasa menjadikan agenda rangkuman kewangan lebih mencabar, Dr Zeti menegaskan akan komitmen Malaysia untuk memastikan semua segmen masyarakat terus mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan "Tahap rangkuman kewangan yang tinggi di Malaysia adalah hasil daripada dasar yang diambil untuk membina sistem kewangan yang kukuh, progresif dan inklusif yang telah menyokong pertumbuhan negara yang seimbang.
Melalui Program Penasihat Rangkuman Kewangan, "Kerajaan Jepun menyatakan komitmennya yang kukuh dan berterusan ke arah pembangunan Afrika bersama-sama dengan rakan pembangunannya seperti Kerajaan Malaysia. Dalam konteks inilah JICA Malaysia telah memperluas kerjasama pembangunannya ke Afrika bersama-sama dengan Kerajaan Malaysia dan pelbagai organisasi serta pakar dari Malaysia," kata Cik Noriko Suzuki, Ketua Perwakilan Pejabat JICA Malaysia.
Program lima hari ini menyediakan platform kepada pengamal pembiayaan mikro di rantau ini untuk berkongsi pengalaman dalam meningkatkan rangkuman kewangan dengan pengawal selia dan pengamal pembiayaan mikro dari Kenya, Malawi, Tanzania, Uganda dan Zambia. Sesi perbincangan akan tertumpu pada perkembangan pembiayaan mikro baru-baru ini di Afrika, Malaysia, India dan Indonesia, dan pembangunan kewangan mikro pertanian, amalan kredit mikro dan pengurusan risiko kredit.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.