Pengawal Selia, Pengubal Dasar dan Pakar Kewangan Berbincang mengenai Strategi untuk Meningkatkan Akses kepada Perkhidmatan Kewangan di Asia

Embargo: Untuk siaran segera
05 Mei 2009 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Kumpulan Penasihat Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Sektor Kewangan Menyeluruh (United Nations Advisors Group on Inclusive Financial Sectors, UNAG) akan menjadi tuan rumah kepada "Forum Serantau Asia mengenai Dasar dan Pengawalseliaan Akses kepada Perkhidmatan Kewangan" pada 6 - 7 Mei 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Akses kepada perkhidmatan kewangan bagi semua pihak didefinisikan sebagai "akses yang meluas kepada pelbagai perkhidmatan kewangan bagi mereka yang miskin dan berpendapatan rendah, dan perusahaan mikro dan kecil." Sektor kewangan menyeluruh dicirikan oleh pelbagai peringkat institusi kewangan yang menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan yang bersesuaian kepada semua segmen penduduk. Forum ini memberi peluang kepada penggubal dasar, pengawal selia dan pakar kewangan kanan dari 14 negara Asia untuk berbincang tentang isu strategik berkaitan akses kepada perkhidmatan kewangan di peringkat global dan rantau Asia, dan membincangkan peranan pengawal selia dalam mewujudkan infrastruktur pengawalseliaan yang menyokong peranan unik yang dimainkan oleh institusi kewangan mikro untuk memastikan akses kepada perkhidmatan kewangan bagi mereka yang amat memerlukannya.

Forum ini akan dirasmikan oleh Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor, Bank Negara Malaysia dan Penasihat UNAG, dengan Ucaptama disampaikan oleh Mr. Jacques Toureille, Ketua Pengarah Aga Khan Agency for Microfinance, bagi pihak H.R.H. Princess Maxima dari Netherlands dan Penasihat UNAG, serta Dr. Nout Wellink, Presiden De Nederlandsche Bank and Chairman of Basel Committee on Banking Supervision.

Forum dua hari ini termasuk penyampaian tentang isu utama dan yang baru muncul oleh Penasihat-penasihat UNAG, dan diikuti oleh perbincangan panel dengan penggubal dasar, pengawal selia dan pakar kewangan. Tajuk-tajuk dan pembentang-pembentang adalah seperti yang berikut:

  • Isu-isu Pengawalan dan Penyeliaan, dan Trend dalam Pembiayaan Mikro Komersial oleh Tim Lyman, Penasihat Dasar Kanan, Kumpulan Perunding bagi Membantu Orang Miskin (Consultative Group to Assist the Poor, CGAP) dan Eric Duflis, Pakar Pembiayaan Mikro Kanan, CGAP
  • Akses kepada Perkhidmatan Kewangan oleh Steve Rasmussen, Penasihat Pembiayaan Mikro, CGAP
  • Implikasi Krisis Kewangan bagi Akses kepada Kredit dan Perkhidmatan Kewangan Lain oleh Laura Brix, Perunding Penasihat Dasar, CGAP
  • Prestasi Sosial bagi Sistem Kewangan Menyeluruh oleh Frances Sinha, Pengarah, Micro Credit Ratings International Limited (M-CRIL)

Hasil utama perbincangan ini akan disediakan untuk pihak media pada akhir Forum tersebut.

Ditubuhkan pada tahun 2006, UNAG terdiri daripada 25 individu yang mewakili Kerajaan, bank-bank pusat, agensi pengawalseliaan, institusi pembiayaan mikro dan penyedia perkhidmatan kewangan lain, institusi kewangan sektor swasta, agensi pembangunan dan akademia dari seluruh dunia serta wakil masyarakat umum. Matlamat UNAG adalah untuk meningkatkan akses yang berterusan kepada pelbagai rangkaian produk dan perkhidmatan bagi isi rumah miskin dan berpendapatan rendah, dan perusahaan mikro dan kecil menerusi pembangunan sektor kewangan menyeluruh di seluruh dunia. Peranan utama UNAG adalah untuk memberikan nasihat kepada sistem Bangsa-bangsa Bersatu dan pihak berkepentingan lain tentang isu global berkaitan kewangan menyeluruh.

Lihat juga: Keputusan Penting daripada Forum UNAG

 


Bank Negara Malaysia
05 Mei 2009

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?