Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Piala Thomas/Uber 2000
Sempena Kejohanan Badminton Piala Thomas/Uber pada 11 – 21 Mei 2000, Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Persatuan Badminton Malaysia akan mengeluarkan tiga jenis duit syiling peringatan sahlaku seperti berikut:
- Duit syiling peringatan emas
Duit syiling peringatan ini, yang mempunyai nilai muka RM100, diperbuat daripada emas pada ketulinan 999.9 seberat 8 gram. Ia akan dijual pada harga RM888.00 sekeping. Duit syiling ini ditempa pada kuantiti yang terhad iaitu sebanyak 8,888 keping sahaja. - Duit syiling peringatan perak
Duit syiling peringatan ini, yang mempunyai nilai muka RM10, diperbuat daripada perak pada ketulinan 99.9 seberat 25 gram. Ia akan dijual pada harga RM120.00 sekeping. Duit syiling ini ditempa pada kuantiti yang terhad iaitu sebanyak 20,000 keping sahaja. - Duit syiling dwi-logam
Duit syiling peringatan ini mempunyai dua warna. Di lingkaran luar berwarna kuning keemasan yang diperbuat daripada campuran logam tembaga, aluminium dan nikel atau lebih dikenali sebagai ‘nordic gold’. Di bahagian dalamnya berwarna perak yang diperbuat daripada campuran logam tembaga dan nikel. Ini merupakan kali pertama Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan dwi-warna. Duit syiling ini, yang mempunyai nilai muka RM1, ditempa pada kuantiti 2 juta keping dan akan dijual pada harga RM5.00 sekeping.
Rekabentuk Duit Syiling
Rekabentuk bagi ketiga-tiga jenis duit syiling peringatan adalah sama di mana sebelah hadapan (obverse) memaparkan imej Piala Thomas dengan berlatarbelakangkan bulu tangkis. Terdapat perkataan ‘KUALA LUMPUR 2000’ di bahagian atas dan ‘PIALA THOMAS.UBER’ di bahagian bawah.
Di sebelah belakang (reverse) pula memaparkan nilai muka dengan latarbelakang gabungan senibina lama dan moden. Bangunan Sultan Abdul Samad dan Bangunan Keretapi Tanah Melayu mewakili senibina lama manakala Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur mewakili senibina moden.
Rekabentuk Bekas Pewter
Kedua-dua jenis duit syiling peringatan emas dan perak didatangkan bersama bekas pewter berbentuk bulat, masing-masing berukuran garispusat 70mm dan 85mm yang dihiasi dengan ukiran motif bunga kelompang yang menarik. Corak bunga kelompang ini lazim digunakan sebagai motif ukiran kayu untuk pintu, tingkap dan jendela oleh masyarakat Melayu di negeri Perak.
Spesifikasi Teknikal
|
SPESIFIKASI |
|||
| Jenis | Emas | Perak | Dwi-logam |
| Kandungan Logam | Emas 999.9 | Perak 99.9 | Luar – CuAl6Ni2
Dalam – CuNi25 |
| Klasifikasi | Pruf | Pruf | Kilatan Istimewa |
| Garispusat | 21.8mm | 35.0 mm; | 26.5mm; |
| Ketebalan | 1.5mm | 2.8mm; | 2.33mm; |
| Berat | 8.0 gram | 25.00 gram | 8.15 gram |
| Kuantiti Tempaan | 8,888 keping | 20,000 keping | 2 juta keping |
| Nilai Muka | RM100 | RM10 | RM1 |
| Harga Jualan | RM888.00 sekeping | RM120.00 sekeping | RM5.00 sekeping |
Duit syiling peringatan Piala Thomas/Uber 2000 berserta bekas pewter dihasilkan oleh Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd. Duit syiling peringatan ini boleh diperolehi mulai hari ini, 2 Mei 2000 ,dicawangan-cawangan utama 10 bank peneraju di seluruh negara iaitu:
- Malayan Banking Berhad
- Bumiputra-Commerce Bank Berhad
- RHB Bank Berhad
- Public Bank Berhad
- Hong Leong Bank Berhad
- Perwira Affin Bank Berhad
- Arab-Malaysian Bank Berhad
- Southern Bank Berhad
- Multi Purpose Bank Berhad
- EON Bank Berhad
Orang ramai juga boleh membuat tempahan atau pembelian terus dari Syarikat Mariwasa di talian 05-7765888 atau 03-9725985/1158 dan fax 05-7760213 dan 03-9718010.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.