Pengeluaran Lesen Takaful Keluarga Baharu

Embargo: Untuk siaran segera
01 Sep 2010 Siaran Akhbar

Susulan pengumuman pada 27 April 2009 berhubung dengan pengeluaran dua lesen takaful keluarga di bawah liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan, Bank Negara Malaysia telah menerima beberapa permohonan untuk lesen takaful keluarga yang amat wajar diberikan pertimbangan.

Memandangkan keadaan ekonomi semasa yang lebih menggalakkan semenjak pengumuman tersebut dan potensi besar untuk mempertingkat kadar penembusan insurans di Malaysia dan di rantau ini, industri insurans dan takaful mempunyai peluang yang terbuka luas untuk berkembang serta menyokong keperluan ekonomi negara. Setelah mengambil kira faktor-faktor ini serta kekuatan yang ada pada kebanyakan pemohon, wujud peluang untuk membenarkan lebih banyak peserta dalam sektor takaful di Malaysia. Sehubungan dengan itu, Menteri Kewangan telah bersetuju untuk mengeluarkan dua lesen takaful keluarga sebagai tambahan kepada dua lesen yang telah diumumkan sebelum ini. Oleh itu, Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa Menteri Kewangan telah meluluskan pengeluaran empat lesen takaful keluarga di bawah Akta Takaful 1984 kepada syarikat-syarikat usaha sama berikut:

  • American International Assurance Berhad (70%) dengan Alliance Bank Malaysia Berhad (30%);
  • AMMB Holdings Berhad (70%) dengan Friends Provident Group plc, UK (30%);
  • ING Management Holdings (Malaysia) Sdn Bhd (60%), Public Bank Berhad (20%) dengan Public Islamic Bank Berhad (20%); dan
  • The Great Eastern Life Assurance Company Limited, Singapore (70%) dengan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (30%).

Semasa menilai permohonan yang diterima, Bank Negara Malaysia telah mengambil kira kekukuhan dan ketahanan kedudukan kewangan, rekod prestasi, kepakaran, pelan perniagaan dan sumbangan pemohon terhadap pembangunan sektor kewangan di Malaysia. Pengendali takaful keluarga baharu ini akan dapat memberikan manfaat yang besar kepada kemajuan pembangunan industri takaful keluarga di Malaysia terutamanya dalam bidang perniagaan takaful keluarga yang masih belum ditembusi, termasuk produk takaful mikro, perubatan dan persaraan. Pengendali ini juga akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.


Bank Negara Malaysia
01 September 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?