Pengenalan Nota Monetari Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pengenalan Nota Monetari Bank Negara (Bank Negara Monetary Notes, BNMN) susulan pindaan kepada Akta Bank Negara Malaysia 1958. Nota ini merupakan instrumen baru yang menggantikan Bil Bank Negara (Bank Negara Bills, BNB) dan Nota Boleh Runding Bank Negara (Bank Negara Negotiable Notes, BNNN) sedia ada bagi tujuan mengurus mudah tunai dalam pasaran kewangan konvensional, dan juga pasaran kewangan Islam. Matlamat utama BNMN adalah untuk meningkatkan kecekapan penyerapan mudah tunai lebihan dalam sistem kewangan, dan kesannya terhadap keadaan pasaran kewangan domestik. Terbitan sulung BNMN bernilai RM1 bilion adalah pada 8 Disember 2006.
Semua terbitan BNB dan BNNN sedia ada akan dihentikan, dan semua terbitan yang matang akan digantikan secara berperingkat-peringkat dengan BNMN mengikut struktur dan tempoh matang yang bersesuaian. Tempoh matang maksimum terbitan ini juga telah dipanjangkan dari setahun kepada tiga tahun. Walau bagaimanapun, langkah ini bukan bertujuan untuk memberi isyarat berkaitan sebarang paras kadar faedah jangka panjang yang disasarkan. Kadar Dasar Semalaman terus merupakan penunjuk tunggal pendirian dasar monetari manakala kadar faedah jangka pendek dan jangka panjang pada tempoh matang lain akan terus ditentukan oleh pasaran, mencerminkan keadaan permintaan dan penawaran keseluruhan serta jangkaan kadar faedah semasa dalam pasaran kewangan.
Terbitan baru BNMN akan dikendalikan secara tender kompetitif melalui rangkaian Peniaga Utama, dan terbitan ini akan dilakukan sama ada berasaskan diskaun atau kupon, dan bergantung kepada permintaan pelabur. BNMN berasaskan diskaun akan didagangkan sama seperti konvensyen pasaran BNB dan Bil Perbendaharaan sedia ada manakala BNMN berasaskan kupon akan didagangkan menggunakan konvensyen pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.