Penggabungan dan Pengukuhan Institusi Perbankan Tempatan
Program penggabungan yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia bertujuan untuk menggabungkan industri perbankan tempatan kepada 10 kumpulan perbankan dalam usaha mewujudkan satu sistem perbankan yang lebih efektif dan berdaya saing. Kumpulan perbankan tersebut merupakan hasil daripada kelonggaran yang diberi kepada institusi perbankan tempatan untuk membentuk kumpulan perbankan masing-masing. Pada 31 Disember 2000, 50 daripada 54 institusi perbankan telah digabungkan kepada 10 kumpulan perbankan. Ini bermakna 94% daripada jumlah aset sektor perbankan tempatan telah dirasionalisasi dan digabungkan. Proses untuk mendapatkan perintah perletakhakan bagi menyempurnakan penggabungan dari segi undang-undang telah dicapai bagi enam kumpulan perbankan manakala tiga kumpulan perbankan lagi adalah dalam peringkat akhir untuk menyempurnakan penggabungan mereka dari segi undang-undang. Penggabungan tersebut telah dicapai berdasarkan prinsip pasaran dengan mengambilkira kepentingan kesemua pihak yang terbabit. Faktor ini merupakan aspek penting dalam program penggabungan bagi memastikan entiti yang digabungkan akan terus berdaya maju.
Untuk empat institusi perbankan yang berkenaan, perjanjian di antara Malayan Banking Berhad dan PhileoAllied Berhad bagi pengambilalihan PhileoAllied Bank (Malaysia) Berhad telah dilanjutkan selama 21 hari bagi melengkapkan proses kelulusan daripada badan-badan penyelia. Kelulusan juga telah diberi kepada Multi-Purpose Bank Berhad dan MBf Finance Berhad serta Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian dan Kumpulan Perbankan Utama [terdiri daripada Bank Utama (Malaysia) Berhad and Utama Merchant Bank Berhad] untuk saling menamatkan perjanjian jual beli masing-masing.
Keperluan dana modal baru sebanyak RM2 bilion bagi kumpulan institusi perbankan domestik akan berkuatkuasa 31 Disember 2001. Oleh yang demikian, institusi berkenaan akan terus menyertai proses penggabungan. Sehubungan ini, permohonan oleh Kumpulan Perbankan Utama untuk memulakan rundingan penggabungan dengan EON Bank Berhad telahpun diluluskan. Pada masa yang sama, permohonan oleh Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian untuk memulakan rundingan dengan Danamodal Nasional Berhad berhubung penggabungan dengan MBf Finance Berhad telah turut diberi kelulusan. Sementara itu, institusi-institusi perbankan tersebut akan terus menawarkan perkhidmatan perbankan seperti biasa.
Kumpulan perbankan yang telah bergabung dari segi undang-undang akan menumpukan perhatian mereka bagi memastikan proses peralihan dilaksanakan dengan lancar dalam usaha mengintegrasikan perniagaan masing-masing. Usaha-usaha akan terus ditumpukan untuk memperkukuhkan daya tahan kumpulan perbankan tempatan supaya menjadi pemain yang ketara dalam pasaran tempatan. Rangka kerja pengawalan dan penyeliaan institusi perbankan akan turut dipertingkatkan untuk memperkukuhkan lagi daya tahan dan daya saingan kumpulan perbankan tempatan serta tataurusan korporat dalam sistem perbankan.
Memandangkan persekitaran kewangan yang semakin kompetitif di masa hadapan ekoran proses globalisasi dan liberalisasi, adalah penting bagi institusi perbankan bertindak dengan pantas untuk mempertingkatkan keupayaan dan kemampuan mereka. Perkembangan ini dijangka akan mendorong proses rasionalisasi dan penggabungan secara berterusan di masa hadapan. Kuasa pasaran akan menentukan proses ini. Matlamat utama adalah bagi mewujudkan sektor perbankan tempatan yang efisien, efektif dan berdaya saing dalam suasana yang stabil dan dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang mapan dan seimbang.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.