Penggunaan perkataan "Bank" dan "Syarikat Kewangan"
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin memaklumkan orang ramai bahawa menurut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (ABIK), penggunaan perkataan "bank" dan "syarikat kewangan" hendaklah terlebih dahulu mendapat keizinan bertulis daripada Y.B. Menteri Kewangan.
Seksyen 15 ABIK memperuntukkan bahawa, tiada seorang pun, selain daripada sebuah bank atau syarikat kewangan yang berlesen, boleh memakai atau menggunakan perkataan "bank", atau "syarikat kewangan", atau apa-apa terbitan daripada perkataan-perkataan ini dalam apa-apa bahasa atau apa-apa perkataan lain dalam apa-apa bahasa yang boleh ditafsirkan sebagai menunjukkan perjalanan perniagaan perbankan atau syarikat kewangan kecuali dengan keizinan bertulis Y.B. Menteri Kewangan. Larangan ini adalah bagi melindungi orang ramai daripada diperdaya oleh syarikat-syarikat yang menggunakan perkataan "bank" atau "syarikat kewangan" secara haram di dalam nama, logo atau tanda namanya yang menunjukkan seolah-olah syarikat-syarikat berkenaan mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan perbankan atau syarikat kewangan.
Sesiapa yang didapati melanggar Seksyen 15 ABIK, apabila disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara 5 tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang berterusan, seseorang boleh dikenakan hukuman denda harian RM5,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.
Bagi mendapatkan pengesahan samada penggunaan perkataan "bank" atau "syarikat kewangan" adalah menurut Seksyen 15 ABIK atau untuk melaporkan sebarang pelanggaran berhubung Seksyen 15 ABIK, orang ramai boleh menghantar e-mail atau menulis terus kepada alamat berikut:
E-mail : [email protected]
Alamat : Pengarah,
Jabatan Pengawalan Bank
Bank Negara Malaysia
Peti Surat 10922
50929 Kuala Lumpur
No. Fax : 03-26913661
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.