Pengumuman Pembentukan Lembaga Profesional Perkhidmatan Kewangan dan Pelantikan Pengerusi dan Ahli-ahlinya

Embargo: Untuk siaran segera
24 Sep 2014 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan pembentukan Lembaga Profesional Perkhidmatan Kewangan (Financial Services Professional Board, FSPB) dan pelantikan Tan Sri Dato’ Azman Hashim sebagai Pengerusi Lembaga serta sembilan ahli Lembaga Pengarah yang terdiri daripada individu yang terkemuka dan berpengalaman luas dalam bidang korporat dan industri kewangan termasuk mereka daripada komuniti antarabangsa.

FSPB merupakan inisiatif yang diterajui industri serta disokong oleh BNM dan SC bagi memacu pembangunan dan penyeragaman piawaian profesional merentas industri perbankan dan insurans, kewangan Islam dan pasaran modal, melalui kerjasama rapat dengan pengawal selia dan institusi dalam sektor perkhidmatan kewangan. Ahli-ahli Lembaga Pengarah FSPB terdiri daripada mereka dalam kalangan industri bagi memastikan piawaian profesional memenuhi kepentingan perniagaan dan tuntutan terhadap industri kewangan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai memandangkan peranan penting industri ini dalam ekonomi negara.

FSPB akan memainkan peranan penting dalam usaha mewujudkan tanda aras bagi piawaian profesional berkualiti tinggi dalam industri perkhidmatan kewangan dan menggalakkan pihak industri untuk menerima pakai piawaian ini secara konsisten. Penyeragaman piawaian akan tertumpu pada aspek kelayakan, tingkah laku dan etika profesional serta pembangunan tahap profesional secara berterusan.

Institut Kewangan Asia (Asian Institute of Finance, AIF) akan melaksanakan tanggungjawab sebagai sekretariat kepada FSPB. Ahli-ahli lembaga pengarah FSPB adalah seperti yang tertera di Lampiran I.

Maklumat lanjut mengenai FSPB terdapat di www.fspb.com.

Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Lihat juga:


Bank Negara Malaysia
24 September 2014

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?