Pengumuman pemenang Anugerah Pemimpin Baharu dan Anugerah Cabaran Berimpak

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC) dengan sukacitanya mengumumkan penerima Anugerah Pemimpin Baharu dan Anugerah Cabaran Berimpak bersempena dengan Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022. Anugerah tersebut telah disampaikan hari ini di Forum Kewangan Islam Global 2022 (Global Islamic Finance Forum, GIFF) oleh Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Anugerah Pemimpin Baharu mengiktiraf bakat muda antarabangsa yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam memajukan idea-idea inovatif dalam bidang kewangan Islam. Anugerah yang julung kali diperkenalkan ini telah diberikan kepada Encik Umar Abdullah Mahmud Munshi, pengasas bersama dan Pengarah Urusan Kumpulan Ethis Group. Syarikat ini terlibat dalam teknologi digital, pelaburan berimpak, dan platform pemerolehan dana daripada orang ramai melalui Internet (crowdfunding) berdasarkan prinsip kewangan Islam yang telah menyokong pelaburan impak daripada lebih 50 negara untuk membiayai projek perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perumahan sosial. Komuniti kewangan Islam secara meluas mengiktiraf Umar sebagai perintis pasaran teknologi digital dan crowdfunding untuk kewangan Islam. Beliau merupakan presiden bagi kumpulan pengasas Islamic Fintech Alliance, sebuah organisasi global yang menggalakkan kerjasama dan pembelajaran antara ahli daripada lebih 10 negara. Umar juga berkhidmat dalam pelbagai peranan penasihat untuk memajukan kewangan sosial Islam, pemerkasaan komuniti dan perusahaan sosial.
Sementara itu, Anugerah Cabaran Berimpak mengiktiraf penyelesaian digital dan inovatif berdasarkan prinsip kewangan Islam, yang bertujuan untuk meningkatkan daya tahan ekonomi dan sosial masyarakat yang terjejas dari segi kewangan di seluruh dunia. Anugerah Cabaran Berimpak ini dianjurkan dengan kerjasama The World Bank Group Inclusive Growth and Sustainable Finance Hub di Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Pihak penganjur telah menerima 50 penyertaan dari 14 negara. Dua puluh lima pasukan kemudiannya disenarai pendek untuk menyertai Program Penggalak dan dua pemenang dipilih oleh panel hakim, terdiri daripada wakil kanan BNM dan SC, Islamic Development Bank, Kumpulan Bank Dunia dan industri modal teroka. Maklumat lanjut mengenai 25 pasukan ini boleh didapati melalui www.theroyalaward.com.
Anugerah Cabaran Berimpak telah dianugerahkan kepada duithape dan Pod untuk penyelesaian inovatif mereka dalam kewangan Islam.
“duithape” yang berasal dari Indonesia merupakan inovasi sistem pembayaran berasaskan biometrik berskala besar yang memberikan tumpuan pada golongan yang tidak mempunyai akses kepada sistem perbankan. Sistem pembayaran digital ini membolehkan penyedia kewangan mengeluarkan pembiayaan mikro patuh Syariah melalui transaksi tanpa tunai kepada peniaga untuk peminjam mikro dan PKS, termasuk mereka yang berada di kawasan terpencil.
“Pod” ialah platform kesejahteraan kewangan untuk pekerja gig dan golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan di Asia Tenggara. Penyelesaian tempatan dari Malaysia ini membantu pengguna menjimatkan wang dan mendapatkan akses pembiayaan mikro dan produk kewangan Syariah dan pada masa yang sama memanfaatkan kecerdasan buatan (artificial intelligence) dalam memberikan kaedah alternatif kepada peminjam untuk membangunkan rekod kredit yang membolehkan mereka mengakses produk pembiayaan daripada bank-bank.
Lihat juga: Ucaptama Gabenor Shamsiah di Global Islamic Finance Forum 2022
Ahli Media boleh menghubungi Pegawai Media melalui;
Roziah Mohd. Hanifa ([email protected]), Delyana Nordin ([email protected])
NOTA KEPADA EDITOR
Mengenai Pasaran Kewangan Islam Malaysia
Sejak diperkenalkan hamper 40 tahun lalu, kewangan Islam di Malaysia telah berkembang sebagai sebuah pasaran kewangan Islam yang maju dan komprehensif serta mampu memenuhi pelbagai keperluan ekonomi dan masyarakat. Pasaran ini mempunyai ciri-ciri kawal selia, pengawasan, rangka kerja Syariah dan perundangan yang mantap, pasaran kewangan Islam yang teguh dan progresif, kepelbagaian penggiat industri, platform komoditi dan pertukaran berbilang aset, gerbang pembayaran pelbagai saluran yang cekap untuk memudahkan pengantaraan kewangan serta pangkalan bakat dengan keupayaan global dan hubung kait dengan urusan perniagaan di serata dunia.
Pasaran kewangan Islam Malaysia terbuka kepada peserta industri global dan peserta pasaran untuk bekerjasama dan mendapat manfaat bersama daripada persekitaran perniagaan yang sangat kondusif bagi inovasi, kepakaran dan aliran urusan. Pasaran kami ialah ekosistem kewangan Islam yang menyeluruh dan persekitaran perniagaan infrastruktur, inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga yang dikendalikan oleh Komuniti Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre, MIFC), yang terdiri daripada institusi kewangan, firma profesional, pengawal selia dan agensi kerajaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai pasaran kewangan Islam Malaysia, sila layari www.mifc.com dan ikuti kami menerusi Twitter (@MalaysiaIF) / LinkedIn (@Malaysia World’s Islamic Finance Marketplace).
Mengenai Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia (BNM) ialah bank pusat Malaysia. Matlamat utama BNM adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Bagi mencapai matlamat ini, BNM memainkan peranan penting dalam membangunkan sistem kewangan konvensional dan Islam dengan pandangan bahawa sistem kewangan yang dibangunkan dengan baik akan menyumbang kepada daya tahan negara. Selama bertahun-tahun, BNM juga menerajui dalam mempromosikan Malaysia sebagai
Pusat Kewangan Islam Antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut, layari bnm.gov.my dan ikuti kami melalui Facebook (bnm.official), Twitter (@BNM_official), Instagram (@banknegaramalaysia), LinkedIn (Bank Negara Malaysia), Telegram (banknegaramalaysia) dan YouTube (BNMOfficial).
Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission, SC) merupakan sebuah badan berkanun yang terletak di bawah Kementerian Kewangan dan ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan satu-satunya agensi kawal selia untuk pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua inidividu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati melalui laman sesawang www.sc.com.my. Ikuti SC di Twitter menerusi @SecComMy untuk mendapatkan perkembangan terkini.
Mengenai The World Bank Group Inclusive Growth and Sustainable Finance Hub di Malaysia
The World Bank Group Inclusive Growth and Sustainable Finance Hub (Hub) di Malaysia merupakan kerjasama antara Malaysia dan Bank Dunia. Hub bekerjasama rapat dengan rakan setara di dalam dan luar negara dengan menjalankan kerja-kerja analisis, khidmat nasihat dan penyelidikan untuk menyokong pertumbuhan inklusif, menggalakkan kewangan lestari dan kewangan inklusif serta untuk memantapkan tadbir urus yang baik.
Layari www.wbg.org/my atau www.facebook.com/worldbankmalaysia untuk maklumat lanjut.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.