Pengumuman Pemenang Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) Global Impact Challenge 2025

13 Okt 2025 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Majlis Kepimpinan MIFC (MIFC Leadership Council, MLC) hari ini mengumumkan para pemenang MIFC Global Impact Challenge 2025 (MIFC GIC 2025):

Kategori Daya Tahan Sosial:

Penerima 1: e-Wakalah
Penerima 2: Gobarakah
Penerima 3: Koha Islamic Digital

Kategori Daya Tahan Iklim: 
Penerima 1: Bagh-e 

Anugerah ini telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Global Islamic Finance Forum 2025.

Para pemenang akan menerima hadiah wang tunai dan sokongan selepas program yang menyeluruh, sehingga 12 bulan untuk membantu membangunkan dan mengembangkan penyelesaian mereka. Sokongan ini akan diberikan oleh Asia School of Business’ Innovation & Entrepreneurship Center (ASBhive), dengan kerjasama rakan strategik global lain.

Bertemakan "Accelerating Innovation. Empowering Change", matlamat MIFC GIC adalah untuk memangkinkan penyelesaian kewangan Islam yang inovatif dan didorong impak dalam memperkukuh daya tahan sosial serta menangani cabaran iklim.

Permohonan telah dibuka pada bulan Julai 2025, dan lebih 50 permohonan daripada 10 negara telah diterima. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 29 pasukan telah disenarai pendek untuk menyertai Program Penggalak. Program ini membantu memperhalus penyelesaian, memperkukuh strategi impak dan mempersiap pasukan untuk pemilihan akhir. Selepas menamatkan program tersebut, sebanyak 10 finalis telah dipilih untuk membentangkan penyelesaian mereka pada Hari Pembentangan (Demo Day).

Gabenor BNM, Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, "Kita perlu terus berinovasi dan memperkukuh potensi transformatif kewangan Islam. Menerusi MIFC GIC, kami berhasrat untuk memupuk inovasi dalam memperluas produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang berimpak. Kami mengalu-alukan pihak berkepentingan yang relevan untuk meneroka penyelesaian inovatif ini bagi memacu pertumbuhan yang mampan dan menangani keperluan global."

MIFC GIC disokong oleh empat rakan kerjasama global iaitu Islamic Finance Council UK, Hong Kong Trade Development Council, Islamic Development Bank dan World Bank Group Inclusive Growth & Sustainable Finance Hub di Malaysia. ASBhive berperanan sebagai rakan ilmu dan penyedia program penggalak, manakala Fintech Association of Malaysia dan Association of Shariah Advisors in Islamic Finance merupakan rakan ekosistem. Islamic Finance News dan Fintech News Malaysia pula merupakan rakan media bagi acara ini.

"Kerjasama antara pihak berkepentingan antarabangsa dengan pihak berkepentingan dalam negeri menunjukkan betapa pentingnya usaha kolektif bagi memajukan kewangan Islam pada peringkat global. Menerusi kerjasama tersebut, kita dapat menggarap potensi sepenuhnya kewangan Islam bagi memberikan manfaat yang bermakna kepada masyarakat, sekali gus memupuk pertumbuhan yang mampan dan inklusif untuk semua," kata Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi MLC.

Maklumat lanjut mengenai MIFC GIC 2025, para pemenang dan 10 finalis boleh didapati melalui www.mifclc.com/mgic.

Bank Negara Malaysia
Majlis Kepimpinan MIFC

13 Oktober 2025


Mengenai Majlis Kepimpinan MIFC

Majlis Kepimpinan Malaysia International Financial Centre (MIFC) (MIFC Leadership Council, MLC) menerajui fasa pertumbuhan kewangan Islam yang seterusnya di Malaysia. Dibarisi oleh para ahli terkemuka, MLC memainkan peranan penting untuk menyediakan kepimpinan berwawasan dan menggalakkan perumusan strategi untuk memantapkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam. Akhirnya, MLC berfungsi sebagai tonggak utama dalam usaha merealisasikan visi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam global yang terunggul. Melalui kepimpinan berwawasan, perumusan strategik serta kerjasama dengan entiti yang berkaitan, MLC beriltizam untuk membentuk masa hadapan kewangan Islam di Malaysia serta memastikan pertumbuhan yang berterusan, berdaya tahan serta terus unggul pada peringkat global.

Layari www.mifclc.com untuk maklumat lanjut.

Mengenai Pemenang MIFC Global Impact Challenge 2025

Sebanyak 10 finalis telah membentangkan penyelesaian mereka kepada panel hakim yang terdiri daripada wakil kanan BNM dan MLC serta rakan kerjasama global dan rakan ilmu. Sebanyak empat pemenang telah dipilih pada Hari Pembentangan semasa Global Islamic Finance Forum.

e-Wakalah, platform pengurusan wakalah berasaskan rantaian blok (blockchain) yang mempertingkatkan ketelusan, tadbir urus, dan kecekapan kewangan sosial Islam.

Gobarakah, platform fintech yang menyampaikan bantuan sosial melalui e-baucar secara selamat dan telus, dibiayai oleh sumbangan sosial, tanggungjawab sosial korporat (CSR), zakat, dan peruntukan wakalah.

Koha Islamic Digital, platform digital yang memodenkan proses hibah dan wasiyyah (pengurusan harta pusaka Islam) melalui perancangan harta pusaka berasaskan teknologi.

Bagh-e, platform yang memperkasa petani berskala kecil melalui penyediaan kredit digital, panduan, dan akses kepada pasaran untuk meningkatkan hasil dan pendapatan.


Bank Negara Malaysia
13 Oktober 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?