Penjelasan mengenai duit syiling RM1
Laporan akhbar baru-baru ini yang mendakwa terdapat banyak duit syiling RM1 palsu dalam edaran adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Bank Negara Malaysia sangat memandang serius maklumat yang tidak tepat ini dan menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan laporan atau dakwaan tersebut dan merujuk kepada Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan maklumat. Keterangan lanjut mengenai penarikan balik duit syiling RM1 boleh didapati melalui laman web Bank Negara Malaysia () atau dengan menghubungi Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang Bank Negara Malaysia di talian 03-2698 8044 sambungan 7442 / 7417.
Terdapat beberapa kes terpencil mengenai pemalsuan duit syiling RM1, namun ianya tidak melibatkan jumlah yang besar. Bank Negara Malaysia sentiasa bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia bagi kes-kes sedemikian dan tindakan segera telah pun diambil.
Penarikan balik duit syiling RM1 adalah disebabkan oleh permintaan yang rendah dan penggunaan duit tersebut yang semakin kurang popular untuk tujuan pembelian barangan dan perkhidmatan di Malaysia. Jumlah semasa duit syiling RM1 mencakupi kurang daripada 1% daripada jumlah nilai mata wang dalam edaran di Malaysia. Sejak tahun 2000, Bank Negara Malaysia telah meningkatkan edaran wang kertas RM1 dan duit syiling denominasi lain bagi menggantikan duit syiling RM1 untuk memenuhi permintaan orang ramai.
Bank Negara Malaysia ingin menegaskan bahawa duit syiling RM1 masih sah diperlakukan sehingga 6 Disember 2005. Semua perniagaan hendaklah terus menerima duit syiling RM1 dan orang ramai boleh menukar duit syiling RM1 mereka sepanjang tempoh tiga bulan mulai 7 September sehingga 6 Disember 2005.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.