Penjualan Pinjaman Tak Berbayar oleh bank-bank Malaysia

Embargo: Untuk siaran segera
20 Jun 2012 Siaran Akhbar

Kami merujuk kepada laporan berita baru-baru ini yang tidak tepat dan mengelirukan tentang penjualan pinjaman tak berbayar (NPL) oleh  institusi perbankan kepada pihak asing.
 
Institusi perbankan boleh menjual NPL masing-masing sebagai sebahagian daripada amalan pengurusan risiko yang dilaksanakan oleh bank.  Penjualan NPL memberikan fleksibiliti kepada bank-bank untuk menguruskan portfolio pinjaman dengan berkesan dan cekap bagi memaksimumkan langkah pemulihan yang diambil dalam usaha melindungi kepentingan pendeposit.
 
Sebarang tindakan pemulihan yang diambil perlu berlandaskan undang-undang.
 
Institusi perbankan dibenarkan menjual NPL masing-masing kepada institusi bukan bank sekiranya penjualan NPL itu dibuat selaras dengan keperluan Garis panduan tentang Penjualan/Pembelian Pinjaman Tak Berbayar oleh Institusi Perbankan yang dikeluarkan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.
 
Garis panduan menetapkan keperluan tertentu yang mesti dipenuhi oleh mana-mana institusi perbankan yang bercadang untuk menjual NPL:

  1. Bank-bank hanya boleh menjual NPL kepada syarikat yang diperbadankan dalam negeri, yang saham majoriti syarikat tersebut dimiliki oleh pemegang saham tempatan kerana syarikat tersebut tertakluk kepada had ekuiti asing sebanyak 49%;
  2. Bank-bank juga dikehendaki mengambil langkah yang perlu untuk memaklumkan penjualan NPL tersebut kepada peminjam;
  3. Penjualan NPL yang dibuat adalah selaras dengan keperluan Garis panduan tidak bercanggah dengan BAFIA;
  4. Penjualan NPL tidak memberikan kesan kepada apa-apa persetujuan penyusunan semula hutang.

 
Jumlah penjualan NPL yang dilaporkan di dalam berita adalah terlalu tinggi. Sejak tahun 2005, jumlah NPL yang dijual oleh bank-bank adalah kurang daripada RM3.0 bilion.


Bank Negara Malaysia
20 Jun 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?