Penubuhan Agensi Kaunseling Kredit dan Pengurusan Hutang

Embargo: Untuk siaran segera
31 Okt 2005 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan penubuhan agensi Kaunseling Kredit dan Pengurusan Hutang (CCDM) untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling kredit dan penstrukturan semula pinjaman kepada individu. Pengaturan keinstitusian ini bertujuan untuk membantu pengguna yang menghadapi masalah dalam memenuhi komitmen kewangan mereka. Agensi CCDM dijadual akan memulakan operasi pada suku pertama tahun 2006.

Langkah ini diperkenalkan ketika sistem kewangan terus mengalami pertumbuhan ketara dalam pinjaman sektor isi rumah. Meskipun pinjaman sektor isi rumah berkembang pada kadar purata 14.3% pada lima tahun yang lepas, pinjaman tidak berbayar (NPL) kasar kekal terurus di bawah paras 8% daripada jumlah pinjaman sektor isi rumah terkumpul pada akhir bulan September 2005. Sejajar dengan paras pendapatan yang semakin meningkat, pinjaman kepada sektor isi rumah dijangka terus meningkat. Oleh itu, langkah ini merupakan langkah awal yang diperkenalkan untuk menyediakan satu saluran bagi menyelesaikan isu kredit yang mungkin dihadapi oleh sektor isi rumah.

Walaupun amalan pemberian pinjaman dan peminjaman berhemat akan terus digalakkan menerusi usaha bersepadu untuk mendidik pengguna mengenai pengurusan kewangan yang bijak, namun akan terdapat kes-kes pengguna yang terjejas akibat perkembangan di luar jangkaan atau kes-kes pengguna yang berbelanja melampaui kemampuan kewangan mereka dan tidak berupaya memenuhi obligasi mereka. Agensi CCDM ini akan menyediakan individu tersebut bantuan dalam penstrukturan semula hutang yang berkaitan dengan pinjaman perumahan, sewa beli, kad kredit dan pinjaman peribadi yang diperoleh daripada institusi kewangan di bawah pengawalseliaan Bank Negara Malaysia. Pengaturan keinstitusian ini merupakan kaedah penjelasan hutang yang cepat dan efektif kos melalui prosedur di luar mahkamah berdasarkan kepada pelan pembayaran balik yang dipersetujui antara pemiutang dengan penghutang. Agensi ini juga akan menyediakan khidmat kaunseling kredit dan nasihat mengenai pengurusan kewangan supaya pengguna dilengkapi dengan kemahiran yang bersesuaian bagi menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.

Penubuhan agensi CCDM merupakan satu lagi usaha penting dalam pembangunan infrastruktur perlindungan pengguna yang komprehensif oleh Bank Negara Malaysia. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan pada tahun ini ialah penubuhan Biro Pengantaraan Kewangan, pengenalan Sistem Insurans Deposit dan Rangka Kerja Perkhidmatan Perbankan Asas. Usaha-usaha ini telah diperkukuhkan oleh program pendidikan kewangan selama sepuluh tahun Bank Negara Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 2001. Agensi CCDM juga akan melengkapi infrastruktur bagi pengurusan hutang yang kini disediakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Butiran terperinci agensi tersebut akan diumumkan pada awal tahun 2006.


Bank Negara Malaysia
31 Oktober 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?