Penubuhan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam
Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan penubuhan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA).
ISRA ditubuhkan bagi menggalakkan aktiviti penyelidikan dalam bidang Syariah dan kewangan Islam. ISRA juga akan berperanan sebagai pusat pengumpulan fatwa dan menjalankan kajian berhubung dengan isu-isu kontemporari dalam industri kewangan Islam. ISRA akan menyumbang ke arah memperkasakan pembangunan modal insan dalam bidang Syariah dan menyediakan platform bagi kerjasama yang lebih erat antara pengamal industri, cendekiawan Syariah, pengawal selia serta ahli akademik melalui penyelidikan dan dialog, di dalam negeri mahupun pada peringkat antarabangsa. Melalui penyelidikan perintis dan dialog intelektual yang giat, ISRA berhasrat untuk menggalakkan inovasi dan kedinamikan dalam bidang baharu kewangan Islam. Dengan penyelidikan dan dialog yang berterusan, diharapkan persefahaman dan pengiktirafan bersama akan berkembang dalam komuniti global industri kewangan Islam.
ISRA akan menjadi sebahagian daripada Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (International Centre for Education in Islamic Finance, INCEIF), yang akan membolehkan akademi ini menggunakan infrastruktur dan kemudahan yang sedia ada, dan juga memanfaatkan pengetahuan, kepakaran dan sumber-sumber fakulti akademik serta penuntut lepasan ijazah INCEIF. Majlis Cendekiawan Syariah yang dianggotai oleh pakar Syariah negara dan antarabangsa yang terkemuka, akan dibentuk untuk memberikan pandangan dan bantuan berhubung dengan hala tuju strategik aktiviti penyelidikan ISRA.
Dr. Mohamad Akram Laldin, seorang pakar Syariah terkenal, akan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif ISRA. Dr. Mohamad Akram memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Perundangan Islam dan Usul Fiqh dari Universiti Jordan, Amman, Jordan dan Ijazah Kedoktoran Usul Fiqh dari Universiti Edinburgh, Scotland, United Kingdom.
Dr. Mohamad Akram mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyelidikan kewangan Islam dan bergiat aktif dalam pembangunan global kewangan Islam menerusi keanggotaan beliau dalam beberapa Jawatankuasa Syariah. Beliau sering membentangkan kertas kerja berhubung dengan perbankan dan kewangan Islam di dalam dan di luar negara, di samping mengendalikan kursus dalam bidang tersebut untuk pelbagai sektor. Dr. Mohamad Akram kini memegang jawatan Penolong Profesor Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Jabatan Fiqh dan Usul di Kuliyyah yang sama serta menjadi Timbalan Dekan (Akademik) di UIAM. Beliau juga pernah menjadi Pensyarah Jemputan di Universiti Sharjah, Emiriah Arab Bersatu.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.