Penubuhan Asia School of Business di Kuala Lumpur dengan kerjasama MIT Sloan School of Management
Massachusetts Institute of Technology Sloan School of Management (MIT Sloan) dan Bank Negara Malaysia telah menandatangani kerjasama 10 tahun untuk menubuhkan Asia School of Business (ASB) di Kuala Lumpur. Matlamat ASB adalah untuk menjadi sekolah perniagaan terunggul yang akan membangunkan pemimpin berwawasan dan berprinsip yang akan menyumbang kepada masa depan yang lebih baik dan kemajuan negara sedang pesat membangun. ASB akan menawarkan program ijazah dan bukan ijazah untuk memenuhi keperluan rantau Asia dan ekonomi global yang lebih luas.
“Pertumbuhan pesat dan daya tahan yang tinggi di rantau Asia dalam beberapa dekad kebelakangan ini nyata telah meningkatkan kepentingan rantau ini dalam ekonomi global. Meskipun Asia mempunyai masa hadapan yang cukup membanggakan, sektor perniagaannya perlu terus bersedia untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu yang timbul berikutan perubahan yang mempengaruhi persekitaran serantau dan global,” ujar Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia merangkap Pengerusi Bersama Lembaga Gabenor ASB.
“Kami melihat penubuhan ASB sebagai peluang untuk membantu membangunkan generasi akan datang di rantau yang pesat membangun ini,” kata David Schmittlein, Dekan MIT Sloan. “Kami berbesar hati kerana dapat berganding bahu dengan Bank Negara Malaysia - khususnya dengan Gabenor Zeti Akhtar Aziz - yang bukan sahaja mempunyai visi strategik yang mengagumkan bahkan merupakan peneraju kemajuan sektor swasta yang memberangsangkan.”
Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) ASB yang utama akan berlandaskan kurikulum teras seperti yang ditawarkan oleh MIT Sloan di Amerika Syarikat (AS) dan akan dilengkapkan dengan pelbagai subjek elektif yang penting untuk peningkatan inovasi dan daya keusahawanan. Sebahagian besar daripada kurikulum akan dikendalikan oleh pensyarah pelawat daripada fakulti di MIT Sloan apabila program dimulakan. ASB juga akan menerapkan pembelajaran secara praktikal (action learning) yang merupakan ciri kecemerlangan pembelajaran di MIT Sloan dan menerima pakai pendekatan berorientasikan latihan sebagai bahagian teras proses pendidikan pengurusan perniagaannya. Pelajar akan berpeluang menjalani latihan praktikal di institusi dan syarikat yang terdiri daripada pelbagai saiz dan struktur merentas ekonomi Asia, untuk menguji dan menggunakan teori yang dipelajari di kelas dan membentuk kefahaman mendalam mengenai pertimbangan perniagaan di rantau ini. Selain pembelajaran berasaskan projek di Asia, pelajar juga akan mengikuti program pertukaran pendidikan selama empat minggu di MIT Sloan di AS. Program MBA pertama dijadualkan dilancarkan pada bulan September 2016, manakala program pendidikan eksekutif bukan ijazah akan dimulakan pada bulan September 2015.
Profesor Richard Schmalensee, mantan Dekan MIT Sloan merangkap Pengerusi Bersama Lembaga Gabenor ASB berkata, “kurikulum ASB akan menerapkan nilai dan pendekatan MIT Sloan. Seperti di MIT Sloan, program MBA ASB akan berlandaskan tiga tunggak. Tunggak pertama ialah tradisi menjalankan kajian intelektual dan rapi bagi menangani masalah penting yang dihadapi perniagaan. Tunggak kedua ialah perspektif global, dengan penekanan khusus pada rantau Asia. Tunggak ketiga-yang merupakan bahagian penting daripada sejarah dan warisan MIT, yang juga akan diberikan penekanan oleh ASB-iaitu semangat inovasi dan keusahawanan yang gigih dalam apa jua perusahaan.”
Profesor Charles Fine, yang merupakan Profesor Pengurusan Chrysler Leaders for Global Operations di MIT Sloan, akan berkhidmat sebagai Presiden dan Dekan pertama ASB. Dekan MIT Sloan, Profesor David Schmittlein dan Timbalan Dekan, Profesor S.P. Kothari, juga akan menggangotai Lembaga Gabenor ASB bagi memacu hala tuju strategik dan nilai-nilai utama ASB. Selain itu, sebagai sebahagian daripada kerjasama 10 tahun ini, satu jawatankuasa khusus yang terdiri daripada fakulti dan staf MIT Sloan akan memberikan sokongan komprehensif kepada ASB, termasuk dari segi pembangunan kurikulum, pengambilan warga kerja fakulti, kemasukan pelajar, pentadbiran akademik, dan reka bentuk kampus.
Kampus tetap ASB akan ditempatkan di kawasan utama seluas 20 ekar di pinggir kawasan perniagaan Kuala Lumpur. Sementara pelan seni bina disiapkan, ASB akan ditempatkan dahulu untuk beberapa tahun di Sasana Kijang, yang merupakan pusat kecemerlangan dan pembelajaran Bank Negara Malaysia yang serba canggih dan moden.
Untuk maklumat lanjut, sila layari http://myasb.mit.edu.

Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.