Penubuhan Institut Kewangan Asia untuk Mempertingkatkan Pembangunan Modal Insan Sektor Kewangan

Embargo: Untuk siaran segera
27 Ogo 2009 Siaran Akhbar

Lembaga Institut Kewangan Asia dengan sukacitanya memperkenalkan Institut Kewangan Asia (Asian Institute of Finance, AIF), yang ditubuhkan pada bulan November 2008. AIF merupakan inisiatif bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk mempertingkatkan pembangunan modal insan dalam sektor kewangan.

AIF berhasrat untuk menjadi sebuah institusi cemerlang di peringkat global dalam usaha menyokong kemajuan industri perkhidmatan kewangan di Malaysia. Hasrat ini akan dapat dicapai melalui pengukuhan pengaturan keinstitusian bagi kerjasama antara AIF dengan empat institusi latihan yang pada masa ini menyediakan khidmat latihan kepada sektor perkhidmatan kewangan. Institusi latihan yang terbabit ialah Institut Bank-Bank Malaysia (IBBM), Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Institut Insurans Malaysia (MII) dan Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC).    

AIF akan bekerjasama rapat dengan institusi latihan tersebut bagi menyelaras dan menambah baik bentuk, kandungan, arahan dan penyampaian program. Usaha ini termasuk pelaksanaan rangka kerja jaminan kualiti untuk memastikan standard yang tinggi bagi latihan, pembangunan dan penyelarasan program dalam bidang-bidang yang meliputi pelbagai industri kewangan serta pengendalian penyelidikan.  

AIF juga akan mempromosikan program pembangunan modal insan perkhidmatan kewangan Malaysia secara lebih holistik yang merangkumi seluruh rantaian nilai, di dalam mahupun di luar negara.

Tumpuan penting AIF adalah untuk meningkatkan kapasiti institusi-institusi latihan utama bagi memenuhi bukan sahaja keperluan pembangunan semasa tetapi juga untuk bertindak secara proaktif terhadap perubahan pesat landskap kewangan, yang akan memerlukan set kemahiran profesional kewangan berkualiti tinggi. Bagi mencapai matlamat ini, AIF akan menumpukan kepada pembangunan rangka kerja kecekapan untuk ahli profesional perkhidmatan kewangan, pembangunan dan penambahbaikan program, peningkatan infrastruktur pembelajaran dan mewujudkan fakulti bertaraf dunia. AIF akan menjadi platform penyelarasan utama bagi memperoleh manfaat daripada kesalinglengkapan dan kekuatan setiap institusi ke arah mencapai wawasan yang sama. 

Ahli Lembaga Pengarah AIF terdiri daripada:

  1. Tan Sri Dato' Sri Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi
  2. Tan Sri Dato' Sri Zarinah Anwar, Timbalan Pengerusi
  3. Dato' Yusli bin Mohamed Yusoff 
  4. Tan Sri Dato'Azman Hashim
  5. Encik Hashim Harun
  6. Pengerusi IBFIM (akan dilantik)
  7. Dato' Dr. Nik Norzrul Thani bin Nik Hassan Thani
  8. Profesor Madya Low Chee Keong
  9. Encik Kung Beng Hong
  10. Dato' Zukri bin Samat
  11. Dato' Haji Syed Moheeb bin Syed Kamarul Zaman

Encik Daniel Viets telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif. Encik Viets berpengalaman luas dalam bidang pengurusan, perundingan dan latihan dalam sektor perkhidmatan kewangan. Beliau pernah berkhidmat di pelbagai syarikat antarabangsa dan badan profesional di Amerika Syarikat. Encik Viets juga pernah menyampaikan syarahan dalam bidang peningkatan kapasiti keinstitusian di rantau Asia Pasifik.

AIF memulakan operasinya sejak bulan Januari 2009 dan pejabatnya terletak di KL Sentral.

 

Institut Kewangan Asia
27 Ogos 2009


Bank Negara Malaysia
27 Ogos 2009

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?