Penubuhan Jaringan Pendidikan Kewangan
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan penubuhan Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FE Network) untuk menyelaras dan memacu strategi pendidikan kewangan pada peringkat kebangsaan di Malaysia.
FE Network berfungsi sebagai platform antara agensi untuk meningkatkan impak inisiatif pendidikan kewangan dan mengenal pasti peluang baharu bagi meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui inisiatif yang lebih terselaras, kerjasama yang lebih erat dan lebih tumpuan pada penilaian impak. Pada peringkat permulaan, ahli FE Network terdiri daripada Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. FE Network akan berkerjasama dengan kementerian kerajaan yang berkenaan, persatuan industri kewangan, kumpulan pengguna dan pihak berkepentingan lain untuk menyampaikan, memantau dan menilai inisiatif pendidikan kewangan di bawah strategi kebangsaan yang bersepadu.
FE Network akan diwakili oleh satu Jawatankuasa Pemandu Antara Agensi Peringkat Tinggi yang dipengerusikan oleh Bank Negara Malaysia dan disokong oleh kumpulan kerja untuk memacu inisiatif tertentu.
"FE Network akan memainkan peranan penting dalam penggunaan sumber dan tenaga kreatif yang kini tertumpu pada pendidikan kewangan di pelbagai agensi bagi memaksimumkan keberkesanannya secara kolektif. Pada masa yang sama, usaha ini dapat menggalakkan liputan pendidikan kewangan yang mencukupi bagi kumpulan sasaran. Ini sangat penting untuk menyokong kesejahteraan individu dan kekukuhan kewangan isi rumah rakyat Malaysia" kata Gabenor Muhammad Ibrahim.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.